Pusat Beli-Belah Tanglin dijual pada S$868 juta dalam percubaan jualan kolektif ke-4

(Gambar: Google Street View)
SINGAPURA: Pusat Beli-Belah Tanglin dijual pada harga S$868 juta setelah percubaan penjualan kolektif keempatnya, menurut ejen pemasarannya Savills Singapore pada Rabu (23 Feb).
Bangunan tersebut dijual kepada Pacific Eagle Real Estate, sebuah syarikat pemaju berpangkalan di Singapura yang dimiliki secara persendirian oleh keluarga Tanoto.
Ia sudahpun mengasaskan dan menguruskan pelbagai perniagaan yang menghasilkan serat semula jadi, minyak makan, bungkusan mesra alam dan gas asli di bawah kumpulan syarikat Royal Golden Eagle selama lebih 50 tahun.
Harga itu bersamaan dengan S$2,769 kaki persegi bagi setiap nisbah plot, jika mengandaikan penggunaan komersil penuh.
"Ini merupakan percubaan penjualan kolektif keempat oleh Pusat Beli-Belah Tanglin. Kempen pemasaran yang dijalankan oleh Savills menghasilkan pembidaan yang berdaya saing, membawa kepada sebuah harga yang 10 peratus lebih tinggi daripada harga simpanan," kata Encik Gaven Tan, Timbalan Pengarah Urusan Jualan Pelaburan dan Pasaran Modal di Savills.
Pusat Beli-Belah Tanglin adalah sebuah tapak pegangan kekal dengan keluasan 68,512 kaki persegi. Ia disenaraikan sebagai bangunan "komersil" dengan nisbah plot bersih 4.2 dan had ketinggian sehingga 20 tingkat.
Pusat beli-belah itu kini merupakan sebuah kompleks komersil setinggi 12 tingkat dengan dua tingkat bawah tanah dan juga sebuah tempat meletak kereta setinggi lapan tingkat. Terdapat 364 unit di dalam bangunan tersebut.
Kompleks utama bangunan itu dibina pada tahun 1970-an manakala menara pejabat tambahan siap pada awal 1980-an.
Dalam kompleks utama, unit-unit runcit dan pejabat ditempatkan antara tingkat dua bawah tanah hingga ke tingkat keenam blok itu manakala tingkat ketujuh hingga ke-12 meliputi unit-unit pejabat.
Pacific Eagle Real Estate sebelum ini membeli Chinatown Plaza yang dijual secara berkelompok (en bloc). Ia kini sedang dibangunkan semula untuk dijadikan sebuah hotel mewah, Mondrian Singapore Duxton.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.