Skip to main content

Kewangan

Pulangan sebenar tahunan 20 tahun GIC menjunam ke paras terendah dalam 5 tahun pada 3.8%

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Jul 2025 10:57AM Dikemas Kini : 26 Jul 2025 12:19AM
SINGAPURA: Dana pelaburan Singapura, GIC, pada Jumaat (25 Jul) melaporkan penurunan pulangan ke paras terendah dalam tempoh lima tahun.

GIC juga sekali lagi memberi amaran mengenai pulangan yang tidak menentu pada masa hadapan di tengah-tengah “pergolakan dunia”.

Sehubungan itu, pelabur negara ini akan terus membina portfolio yang berdaya tahan dengan memberi tumpuan kepada nilai jangka panjang dan melangkaui kepelbagaian (diversification) untuk “mengutamakan ketelitian (granularity) dan ketangkasan (agility)” dalam strategi pelaburannya.

Dalam laporan tahunan 2024/25, GIC menyatakan kadar pulangan sebenar tahunan bagi tempoh 20 tahun, dan berakhir pada 31 Mac, ialah 3.8 peratus.

Ini merupakan penurunan daripada 3.9 peratus yang dicatat pada tahun sebelumnya, dan yang paling rendah sejak 2.7 peratus pada tahun kewangan 2019/20.

Metrik 20 tahun ini, iaitu penunjuk utama prestasi pelaburan GIC, adalah pulangan bergulir (rolling return),

Ini bermakna setiap tahun, tempoh pengiraan beralih ke hadapan sebanyak satu tahun, menggugurkan tahun terawal dan menambah tahun terkini.

Misalnya, angka bagi tahun kewangan 2024/25 mewakili purata pulangan tahunan portfolio GIC dari April 2005 hingga Mac 2025, dengan mengambil kira kadar inflasi global.

Dalam terma nominal dolar Amerika, GIC melaporkan pulangan tahunan sebanyak 5.7 peratus bagi tempoh 20 tahun yang berakhir pada 31 Mac 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GIC, Lim Chow Kiat, berkata pulangan jangka panjang GIC “kekal stabil”, walaupun pelbagai faktor telah menjejas prestasinya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini termasuk perubahan kitaran dalam pertumbuhan, inflasi dan kadar faedah, serta perubahan struktur jangka panjang seperti perubahan demografi dan penyusunan semula rantaian bekalan.

Terdapat juga perubahan asas yang membawa kepada “transformasi penting terhadap aturan dunia”.

Ini termasuk perubahan iklim, kecerdasan buatan (AI), konflik kuasa besar dan peningkatan perlindungan perdagangan.

“Dunia sedang bergolak,” kata Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC, Bryan Yeo.

“Terdapat banyak kuasa yang mendorong ketidaktentuan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dan realitinya, semakin sukar untuk orang ramai bersiap sedia.”

Ini bermakna pulangan dalam dekad akan datang dijangka “lebih tidak menentu”.

Sebagai memberi respons, GIC menyatakan ia kini menerapkan unsur ketelitian dan kecekapan bertindak dalam strategi pelaburannya, kerana “kepelbagaian sahaja tidak lagi mencukupi".

GIC juga mahu mengenal pasti “segmen yang boleh dilabur” dalam tema atau sektor yang sedang berkembang.

“Sebagai contoh, gas asli akan terus memainkan peranan penting di Amerika Syarikat dalam jangka sederhana, tetapi tenaga boleh diperbaharui berada dalam kedudukan kukuh di Eropah, China dan India,” tambahnya.

GIC juga perlu kekal tangkas dengan mengekalkan kedudukan kecairan yang baik dan kukuh supaya ia boleh “bertindak secara kontra apabila terdapat peluang dan gangguan yang muncul,” kata Encik Yeo.

Sumbangan daripada rizab, atau Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (Net Investment Returns Contribution - NIRC), merupakan salah satu penyumbang utama kepada belanjawan tahunan pemerintah Singapura.

Di bawah rangka kerja NIRC, pemerintah boleh membelanjakan sehingga 50 peratus daripada pulangan pelaburan bersih atas aset bersih yang dilaburkan oleh GIC, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Temasek, serta sehingga 50 peratus daripada pendapatan pelaburan bersih yang dijana daripada rizab masa lalu daripada aset selebihnya.
 
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita