PUB bersedia ambil alih loji penyulingan Tuaspring pada harga $0
Agensi air negara (PUB) menyatakan hari ini (21 Mac) bahawa ia bersedia untuk membeli Loji Penyahgaraman Tuaspring (TDSP) pada harga sifar dolar, jika syarikat itu gagal memenuhi komitmennya di bawah perjanjian pembelian air.
Tuaspring perlu membekalkan sehingga 70 juta gelen air yang disuling setiap hari kepada PUB bagi tempoh 25 tahun, iaitu dari 2013 hingga 2038. (Gambar: Hyflux)
SINGAPURA: Agensi air negara (PUB) menyatakan hari ini (21 Mac) bahawa ia bersedia untuk membeli Loji Penyahgaraman Tuaspring (TDSP) pada harga sifar dolar, jika syarikat itu gagal memenuhi komitmennya di bawah perjanjian pembelian air.
Pada 5 Mac, PUB mengeluarkan notis gagal membuat pembayaran kepada anak syarikat Hyflux, Tuaspring Pte Ltd (TPL), untuk menghuraikan soal gagal membuat bayaran di bawah perjanjian pembelian air (WPA) antara syarikat itu dengan PUB.
Di bawah perjanjian yang dimeterai dengan PUB pada 2011, Tuaspring perlu membekalkan sehingga 70 juta gelen air yang disuling setiap hari kepada PUB bagi tempoh 25 tahun, iaitu dari 2013 hingga 2038.
Bagaimanapun pada awal bulan ini, PUB menyatakan bahawa Tuaspring gagal memastikan loji itu dapat beroperasi dengan sewajarnya seperti yang dikehendaki.
Jika Tuaspring gagal menghuraikan semua pembayarannya sepanjang tempoh itu, PUB menyatakan ia akan membatalkan perjanjian tersebut dan mengambil alih loji penyulingan di bawah projek bersepadu pengurusan air dan tenaga Tuaspring.
Menurut PUB, ia mempunyai keupayaan operasi, pengalaman dan tenaga kerja untuk mengendalikan loji tersebut.
Menurut PUB lagi, Tuaspring menyatakan bahawa loji berkenaan mengalami kerugian sebelum ini dan ia akan terus berdepan dengan masalah itu bagi tempoh beberapa tahun akan datang. Loji tenaganya juga mengalami kerugian dan keadaan pasaran dijangka tidak akan bertambah baik dalam masa terdekat.
Sebelum ini, pembatalan perjanjian pembelian air itu dilaporkan akan menjejas usulan penyusunan semula Hyflux oleh SM Investments - iaitu sebuah konsortium yang terdiri daripada syarikat yang berpangkalan di Indonesia, Salim Group, dan syarikat gergasi tenaga, Medco Group.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.