Skip to main content

Kewangan

Proton harap Pakistan jadi gerbang tembusi pasaran lain

Pakistan, yang akan menjadi lokasi kilang pemasangan tempatan (CKD) pertama Proton di Asia Selatan, boleh menjadi pintu masuk bagi pembuat kereta nasional Malaysia untuk menembusi pasaran negara lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Proton harap Pakistan jadi gerbang tembusi pasaran lain

Gambar fail logo Proton (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 23 Mar 2019 05:17PM Dikemas Kini : 23 Mar 2019 05:59PM

ISLAMABAD: Pakistan, yang akan menjadi lokasi kilang pemasangan tempatan (CKD) pertama Proton di Asia Selatan, boleh menjadi pintu masuk bagi pembuat kereta nasional Malaysia untuk menembusi pasaran negara lain.

Pengerusi Proton Syed Faisal Albar berkata strategi eksport syarikat adalah mencari negara yang mempunyai pelbagai perjanjian perdagangan dengan negara lain.

“Diharapkan, mereka boleh menjadi pintu masuk bagi Proton, dengan demikian kita tidak perlu ke mana-mana sebaliknya menumpukan kepada pasaran utama yang mempunyai perjanjian perdagangan dengan negara sekitarnya. Ia akan menjadi laluan Proton (bagi pasaran baharu),” katanya kepada media Malaysia selepas majlis pecah tanah simbolik kilang itu pada Jumaat (22 Mac).

Acara itu dirasmikian bersama Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya di Pakistan, Imran Khan di sebuah hotel.

Alhaj Automotive, pengedar rasmi kenderaan Proton di Pakistan, akan membuat pelaburan awal US$30 juta (S$40.5 juta) untuk membina kilang di kawasan baru berhampiran Karachi, di wilayah Sindh.

Syed Faisal berkata sebenarnya Proton sudah menyusun semula strategi eksportnya, dengan ia mencari pasaran berpotensi cerah dan kekal di sana bagi jangka panjang.

“Strategi baru itu termasuk pemasangan kereta di pasaran tempatan berbanding mengekspot kenderaan siap dipasang di Malaysia kepada pengedar di sana untuk dijual. Berasaskan itu anda memberi jaminan kepada pemerintah tempatan di sana atau rangsangan kepada mereka untuk bersama anda bagi jangka panjang memandangkan Proton akan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Seperti perkongsian (di Pakistan), iaitu dalam tempoh tiga tahun kita akan mewujudkan 2,000 pekerjaan langsung. Kita menganggarkan tahap hiliran, iaitu keseluruhan ekosistem sektor automotif yang kita mahu realisasikan, Proton akan mewujudkan lebih 20,000 pekerjaan sampingan." katanya.

Syed Faisal berkata Proton memilih Pakistan untuk membangunkan kilang pemasangan luar negaranya kerana pasaran itu memiliki potensi tinggi.
“Terdapat 17 kereta bagi setiap 1,000 orang - angka itu agak rendah. Kita mahu pasaran ini untuk jangka panjang.

“Selain itu, tidak ada banyak jenama asing di Pakistan buat masa ini sekali gus kita yakin bahawa kita memiliki kelebihan penggerak pertama jika memasuki pasaran itu lebih awal sebelum ia menjadi tumpuan banyak pihak lain. Maka, kita boleh meraih manfaat jangka panjang,” katanya.

Syed Faisal berkata pada masa ini Proton menyasarkan kapasiti pengeluaran sebanyak 25,000 unit setahun mulai Jun 2020 dari kilang baharu itu, dengan Saga sebagai model pertama.

Beliau berkata Karachi dipilih sebagai tapak kilang itu memandangkan ia merupakan pusat industri automotif dan rakan kongsi Proton berpangkalan di sana.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita