Skip to main content

Kewangan

Prospek Asia Pasifik kekal cerah pada 2026 meski berdepan tekanan global: MEI

Rantau Asia Pasifik dijangka kekal sebagai antara kawasan yang lebih memberangsangkan pada 2026 meskipun ekonomi global berdepan ketegangan geopolitik, anjakan dinamik perdagangan dan pelaburan pesat dalam kecerdasan buatan (AI), menurut tinjauan tahunan terkini oleh Institut Ekonomi Mastercard (MEI).
Anggaran Waktu Membaca:
Prospek Asia Pasifik kekal cerah pada 2026 meski berdepan tekanan global: MEI
Sekumpulan pelancong di sebuah kawasan membeli-belah di Beijing, China, pada 28 Nov 2025. (Gambar: AFP/Wang Zhao)
SINGAPURA: Rantau Asia Pasifik dijangka kekal sebagai antara kawasan yang lebih memberangsangkan pada 2026 meskipun ekonomi global berdepan ketegangan geopolitik, anjakan dinamik perdagangan dan pelaburan pesat dalam kecerdasan buatan (AI), menurut tinjauan tahunan terkini oleh Institut Ekonomi Mastercard (MEI).

Dalam satu kenyataan pada Rabu (10 Dis), MEI memaklumkan pertumbuhan Asia Pasifik akan disokong oleh inflasi yang semakin reda, dasar kewangan yang lebih longgar serta peningkatan pendapatan sebenar.

Ia turut menyatakan bahawa para pengguna akan terus mementingkan nilai, sambil mengutamakan pengalaman seperti pelancongan dan acara yang diadakan secara langsung.

Secara global, pertumbuhan sebenar Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) dijangka lebih perlahan tahun depan pada kadar 3.1 peratus berbanding jangkaan 3.2 peratus pada 2025.

Rangsangan fiskal dan kemajuan teknologi – khususnya dalam AI – dijangka mendorong pertumbuhan, meskipun manfaatnya dijangka berbeza-beza bagi setiap rantau, menurut MEI.

“Memandangkan kedudukannya yang penting dalam perdagangan global, Asia Pasifik menunjukkan daya tahan luar biasa di tengah-tengah ketidaktentuan tarif dan perubahan rantaian bekalan yang mengancam untuk mengganggu perdagangan antarabangsa,” kata ketua ekonomi Mastercard bagi Asia Pasifik, David Mann, dalam kenyataan tersebut.

Beliau menambah bahawa fasa pertumbuhan seterusnya bagi rantau itu bergantung kepada sejauh mana pemerintah dan perniagaan-perniagaan dapat menyesuaikan diri, mengukuhkan keupayaan digital mereka dan bertindak balas terhadap perubahan tingkah laku pengguna.

Unjuran MEI 2026 menggunakan data urus niaga agregat pelanggan Mastercard yang disamarkan identitinya, pelbagai sumber awam, serta pemodelan ekonomi institut tersebut. Ia meliputi 12 pasaran di seluruh Asia dan Oceania.

ASIA PASIFIK TERUS ATASI TEKANAN GLOBAL

Dalam satu temu bual berasingan dalam program Asia First terbitan CNA, Encik Mann berkata harga tenaga yang lebih rendah dan barangan murah dari China meningkatkan kuasa membeli para pengguna di rantau ini, sekali gus membantu mereka mengatasi kenaikan kos.

“Kami telah melihat selama beberapa tahun, di sesetengah tempat, kos keperluan asas meningkat jauh lebih cepat berbanding gaji. Tetapi kini kami melihat pertumbuhan gaji melebihi inflasi CPI (indeks harga pengguna),” kata beliau.

Menurut unjuran tersebut, kedudukan Asia Pasifik sebagai pusat rantaian bekalan global “kekal utuh”, manakala India, Asia Tenggara serta China mengembangkan peranan mereka sedang syarikat-syarikat menyesuaikan strategi pemerolehan dan pelaburan masing-masing.

Dengan China mempelbagaikan pasaran eksportnya sebagai tindak balas terhadap tarif, jumlah jualan e-dagang China ke Amerika jatuh daripada 28 peratus pada 2024 kepada 24 peratus menjelang Ogos 2025, tambah beliau.

Digabungkan dengan permintaan domestik yang lebih lemah, syarikat-syarikat China kini semakin melihat ke arah Asia Pasifik untuk merebut peluang pertumbuhan, kata Encik Mann.

Hasilnya, mengalihkan operasi pengeluaran serta penjualan ke pasaran-pasaran seperti ASEAN atau India adalah langkah yang munasabah bagi syarikat-syarikat China, katanya.

Namun, meskipun negara pengimport barangan murah dari China menikmati harga lebih rendah, pengeksport di Jepun dan sebahagian Asia Selatan berdepan tekanan akibat tarif Amerika Syarikat dan permintaan luar yang lebih lembap, menurut institut tersebut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita