Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

PropertyGuru bakal diambil alih pada harga AS$1.1 bilion, jadi syarikat privet

Anggaran Waktu Membaca:
PropertyGuru bakal diambil alih pada harga AS$1.1 bilion, jadi syarikat privet

(Gambar: PropertyGuru)

Diterbitkan : 16 Aug 2024 07:32PM Dikemas Kini : 16 Aug 2024 07:42PM
SINGAPURA: PropertyGuru bersetuju untuk dibeli oleh sebuah syarikat pelaburan Asia, di mana sahamnya akan berhenti disenaraikan di Bursa Saham New York dan ia akan dijadikan syarikat privet.

Syarikat teknologi hartanah yang berpangkalan di Singapura itu menyatakan pada Jumaat (16 Ogos) bahawa pemerolehan oleh EQ Private Capital Asia akan dilaksanakan melalui transaksi wang tunai, yang menilai syarikat tersebut pada nilai ekuiti kira-kira AS$1.1 bilion (S$1.5 bilion).

Sebaik sahaja pemerolehan itu dilaksanakan, setiap saham biasa syarikat yang dijual dan yang tertunggak sejurus sebelum pemerolehan tersebut akan dibatalkan dan ditukarkan kepada hak menerima wang tunai bersamaan AS$6.70 (S$8.80) bagi setiap saham, tanpa faedah.

Menurut PropertyGuru, lembaga pengarah syarikat itu sebulat suara bersetuju untuk meluluskan dan memutuskan untuk mengesyorkan kelulusan perjanjian tersebut oleh pemegang saham syarikat itu.

PropertyGuru menjangkakan transaksi tersebut diselesaikan pada suku keempat 2024 atau suku pertama 2025. Ia bergantung kepada syarat penyelesaian perjanjian, termasuk kelulusan oleh para pemegang saham PropertyGuru dan kelulusan kawal selia.

"Dengan pengalaman EQT yang mendalam dalam sektor teknologi, iklan online dan pasaran, kami berhasrat untuk mengukuhkan lagi platform PropertyGuru, memacu inovasi yang dipertingkatkan dan pelibatan lebih mendalam dengan pengguna, pelanggan dan pemegang saham," kata Janice Leow, rakan kongsi dalam pasukan penasihat EQT Private Capital Asia dan ketua EQT Private Capital Southeast Asia.

Menurut kenyataan media, ibu pejabat PropertyGuru akan kekal di Singapura selepas perjanjian tersebut diselesaikan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan