Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Presiden Go-Jek bentang pelan untuk pecahkan monopoli Grab

Meskipun Go-Jek dan Grab memiliki logo yang sebahagian besarnya berwarna hijau, namun Presiden Go-Jek Andre Soelistyo yakin bahawa syarikat itu mempunyai kelebihan dalam pelbagai jenis khidmat yang boleh ditawarkannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Go-Jek bentang pelan untuk pecahkan monopoli Grab

Presiden Go-Jek Andre Soelistyo semasa wawancara bersama Mediacorp.

Diterbitkan : 29 Nov 2018 11:43PM Dikemas Kini : 29 Nov 2018 11:47PM

SINGAPURA: Meskipun Go-Jek dan Grab memiliki logo yang sebahagian besarnya berwarna hijau, namun Presiden Go-Jek Andre Soelistyo yakin bahawa syarikat itu mempunyai kelebihan dalam pelbagai jenis khidmat yang boleh ditawarkannya sedang kedua-dua syarikat tersebut bersaing dalam pasaran khidmat kereta sewa privet di Singapura.

"Saya rasa warna logo tidak akan memberi sebarang perbezaan dalam memperolehi saham pasaran. Kebanyakan syarikat teknologi juga (mempunyai logo) yang berwarna hijau," kata beliau sambil tertawa.

Encik Soelistyo kelihatan gembira apabila bertemu dengan Mediacorp pada Khamis (29 Nov), beberapa minit selepas Go-Jek melancarkan versi beta aplikasinya di Singapura, dengan memperkenalkan khidmatnya di merata negara.

Para penumpang dan pemandu berharap kemasukan Go-Jek akan memberi nafas baru kepada persaingan dalam pasaran khidmat kereta sewa privet di Singapura selepas Grab mengambil alih operasi Uber di Asia Tenggara pada Mac lalu.

Dalam usahanya untuk menawan sebahagian daripada pasaran kereta sewa, Go-Jek dijangka memikat para pengguna baru dengan kod-kod promosi bagi perjalanan yang dilakukan pada fasa permulaan.

Di acara pelancarannya, syarikat itu juga mengumumkan bahawa sebagai sebahagian daripada kerjasama strategiknya dengan bank DBS, para pelanggan DBS dan POSB di Singapura akan menerima kredit baucar S$5 bagi dua perjalanan pertama mereka.

Encik Soelistyo juga membayangkan bahawa lebih banyak diskaun seumpama itu akan ditawarkan dalam beberapa minggu akan datang.

Sungguhpun demikian, Encik Soelistyo memberi amaran bahawa promosi-promosi yang ditawarkan tidak seperti yang diberikan oleh Grab dan Uber ketika ia baru-baru dilancarkan di Singapura. Beliau menarik perhatian bahawa para penumpang kini lebih mengetahui mengenai khidmat kereta sewa privet. Oleh itu, Go-Jek akan menumpukan perhatian kepada usaha membangunkan sebuah produk yang dapat dibezakan, berbanding "membangunkan pasaran".

Pada hari pelancaran aplikasi beta Go-Jek, Ketua Grab Singapore Lim Kell Jay mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa syarikat itu "mengalu-alukan persaingan".

"Kami percayai bahawa dengan lebih banyak pilihan dalam pasaran, ia akan menggalak inovasi serta tahap khidmat yang lebih tinggi dalam industri. Grab menghargai para pelanggan kami di Singapura dan kami sentiasa mencari cara-cara untuk meningkatkan pengalaman mereka serta mewujudkan nilai yang lebih tinggi bagi urus niaga harian mereka dari segi pengangkutan, pembayaran, penghantaran makanan dan bungkusan," tambah beliau.

Encik Lim berkata Grab akan terus menumpukan perhatian kepada membangunkan wawasannya bagi menjadi "aplikasi utama harian Singapura".

BAKAL LANCAR KHIDMAT HANTAR MAKANAN, PEMBERSIHAN DAN URUT?

Encik Soelistyo menekankan bahawa Go-Jek akhirnya harus menumpukan perhatian terhadap syarikat itu sendiri kerana kelebihannya berbanding Grab adalah platform sehentinya.

Aplikasi Go-Jek di Indoneisa menawarkan sekitar 20 khidmat bagi para pengguna. Ini termasuk khidmat penghantaran makanan 'Go-Food', khidmat mengurut 'Go-Massage', khidmat penghantaran mengikut permintaan 'Go-Send' dan khidmat pembersihan rumah profesional 'Go-Clean'.

Encik Soelistyo yakin bahawa pengalaman Go-Jek dalam menawarkan khidmat sedemikian selama empat tahun sejak ia dilancarkan di Indonesia, memberi syarikat itu kelebihan jika dibandingkan dengan "peniru" lain.

Namun, beliau berkata Go-Jek mesti memastikan agar khidmat asasnya - iaitu khidmat sewa kereta privet - berjaya memikat para penumpang Singapura sebelum ia berkembang untuk menawarkan khidmat lain.

Bagi menembusi pasaran itu dan mencatat kejayaan, Encik Soelistyo juga menarik perhatian bahawa Go-Jek tidak boleh melakukannya secara sendirian dan mesti bekerjasama dengan syarikat-syarikat lain.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan