Premium COE kereta cecah paras tertinggi sejak 2023
Harga premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) ditutup pada kadar tertinggi selepas hampir dua tahun dalam sesi bidaan terkini pada Rabu (20 Ogos).
Keadaan trafik di sebuah persimpangan yang sibuk di Singapura. (Gambar: iStock/davidf)
Bagi Kategori A, yang digunakan bagi kenderaan lebih kecil, premium ditutup pada S$104,524, naik daripada S$102,009 dalam bidaan sebelum ini.
Kali terakhir harga COE bagi Kategori A sebegitu tinggi adalah pada Oktober 2023, apabila ia mencecah rekod S$106,000.
Premium COE bagi kenderaan lebih besar dan berkuasa dalam Kategori B meningkat kepada S$124,400 daripada S$123,498.
Ia adalah harga COE tertinggi sejak Disember 2023 apabila harga COE mencecah S$130,100 pada ketika itu.
Premium COE bagi Kategori Terbuka, yang boleh digunakan untuk sebarang jenis kenderaan tetapi kebanyakannya digunakan untuk kereta besar, meningkat kepada S$125,001 daripada S$122,334.
Kali terakhir harga COE dalam Kategori Terbuka mencapai paras rekod adalah pada Disember 2023, di mana premium COE adalah S$133,388.
Premium COE bagi kenderaan komersil, yang termasuk kenderaan barangan dan bas, meningkat kepada S$72,190 daripada S$70,001 dalam sesi bidaan sebelum ini.
Premium motosikal ditutup lebih rendah pada S$8,809, berbanding S$9,189 dalam bidaan sebelumnya.
Sebanyak 4,760 bidaan diterima, dengan kuota 3,126 COE diperuntukkan.
Ia adalah bidaan kedua di bawah kuota COE Ogos hingga Oktober.
Pada jumlah 18,701, keseluruhan bekalan COE naik hampir 2.6 peratus berbanding suku sebelumnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.