Skip to main content

Kewangan

Premium COE Kategori A susut di bawah S$124,000 dalam bidaan terkini

Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) ditutup bercampur-campur dalam bidaan terkini pada Rabu (5 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Premium COE Kategori A susut di bawah S$124,000 dalam bidaan terkini

Kenderaan di sebuah lebuh raya di Singapura. (Gambar fail: CNA/Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 05 Aug 2026 05:32PM
SINGAPURA: Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) ditutup bercampur-campur dalam bidaan terkini pada Rabu (5 Ogos).

Bagi kereta Kategori A, iaitu kenderaan dengan kapasiti enjin 1,600cc ke bawah dengan kuasa enjin tidak melebihi 130bhp, premium ditutup pada S$123,890, susut 1.7 peratus berbanding S$126,000 dalam latihan bidaan sebelumnya.

Premium bagi kereta yang lebih besar dan berkuasa di bawah Kategori B pula meningkat kepada S$129,910 daripada S$129,890, iaitu kenaikan S$20.

Premium COE bagi kenderaan komersial, termasuk kenderaan barangan dan bas, merosot 2.5 peratus kepada S$91,545 daripada S$93,889 dalam bidaan sebelumnya.

Premium bagi motosikal ditutup pada S$10,503, meningkat tiga peratus daripada S$10,202 dalam bidaan lalu.

Premium COE Kategori Terbuka, yang boleh digunakan bagi sebarang jenis kenderaan tetapi kebanyakannya digunakan untuk kereta besar, meningkat 0.8 peratus kepada S$131,000 daripada S$129,971.

Sebanyak 4,337 bidaan diterima, dengan kuota 3,242 COE diperuntukkan.

Bidaan pada Rabu merupakan yang pertama bagi bulan Ogos hingga Oktober, yang menyaksikan kuota COE meningkat sedikit kepada 19,085, iaitu peningkatan 0.2 peratus berbanding 19,052 pada suku sebelumnya.

Peningkatan itu didorong oleh pertambahan kuota Kategori B sebanyak 6.2 peratus kepada 5,527, manakala kuota Kategori A akan turun empat peratus kepada 7,134.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bulan lalu menyatakan cadangan untuk menggabungkan COE Kategori A dan Kategori B menjadi satu kategori tunggal merupakan antara idea yang dibincangkan dalam sesi kumpulan fokusnya berhubung akses kepada pemilikan kereta di Singapura.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Pengangkutan, Edward Chia, yang mengemukakan cadangan tersebut, bersama Anggota Parlimen Ang Wei Neng, berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pengeluar kenderaan telah mengubah suai spesifikasi kenderaan bagi melayakkannya untuk COE Kategori A. Keadaan itu menyumbang kepada jurang premium yang semakin kecil antara COE Kategori A dengan Kategori B.

"LTA menyatakan ramai yang berpendapat bahawa kriteria kapasiti enjin dan kuasa enjin kini tidak lagi begitu berkesan untuk membezakan antara kereta pasaran umum dengan kereta mewah."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita