Petronas sasar lebih banyak projek LNG di Kanada; tingkatkan portfolio antarabangsa kepada 60%
Firma kerajaan Malaysia, Petronas merancang untuk menambah bahagian portfolio antarabangsanya kepada 60 peratus daripada seluruh perniagaannya sepanjang tempoh sedekad akan datang, menurut firma itu pada Isnin (11 Ogos).
Logo Petronas kelihatan di pejabatnya di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 27 April 2022. (Gambar fail: REUTERS/Hasnoor Hussain)
Firma itu akan mengembangkan portfolio antarabangsanya, yang kini meliputi kira-kira 40 peratus hingga 50 peratus daripada pelaburannya, dengan menyepadukan kepakaran domestiknya dengan perkongsian global, ia menyatakan dalam satu kertas fakta yang dikongsi bersama Reuters.
Dalam pasaran yang tidak menentu, Petronas sedang menaik tarif portfolio operasi huluan untuk memberi tumpuan kepada aset-aset bemutu tinggi, di samping memastikan bekalan tenaga bagi Malaysia kekal diyakini, menurut syarikat itu.
"Malaysia kekal sebagai bahagian teras portfolio pelaburan kami, dan kami komited terhadap pasaran ini," kata naib presiden eksekutif dan ketua pegawai eksekutif perniagaan huluannya Mohd Jukris Abdul Wahab dalam kertas fakta.
Agensi berita setempat Malaysia Bernama menukil Mohd Jukris sebagai berkata Petronas akan mengkaji semula operasinya termasuk dari segi penyelenggaraan, operasi lapangan dan lain-lain untuk menangani kesan penurunan harga minyak mentah.
Harga minyak mentah kini didagangkan pada AS$66.68 setong setakat 1006 GMT.
Mohd Jukris berkata Petronas akan menimbangkan perkongsian dengan firma-firma lain bagi mengurangkan pendedahan risiko, khususnya bagi aset yang memerlukan pelaburan modal tinggi tetapi menawarkan nilai yang terhad.
Beliau menambah, Petronas juga menimbangkan meningkatkan kehadirannya di Kanada, memandangkan negara itu kini antara pembekal utama gas asli cecair (LNG), lapor Bernama.
Pada Julai lalu, Petronas menghantar kargo LNG pertama dari kemudahan LNG Kanada di Kitimat, British Columbia ke Jepun.
Petronas mempunyai 25 peratus kepentingan dalam loji LNG Kitimat di British Columbia di pantai barat Kanada.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.