Petronas bekalkan bahan api penerbangan mampan pertama buatan Malaysia ke KLIA
Logo Petronas kelihatan di sebuah stesen minyak di Kuala Lumpur, Malaysia pada 4 September 2020. (Gambar fail: REUTERS/Lim Huey Teng)
This audio is generated by an AI tool.
Bahan api penerbangan mampan itu akan digunakan untuk perkhidmatan harian Malaysia Airlines MH2 pada lewat malam dari Kuala Lumpur ke London antara 1 September dan 16 September.
Ia juga merupakan langkah ketara dalam menyepadukan bahan api ke dalam operasi biasanya.
Dihasilkan di kemudahan Petronas, bahan api penerbangan mampan yang diperakui Pensijilan Kemampanan dan Karbon Antarabangsa (ISCC), dihantar terus ke KLIA melalui saluran paip pelbagai produk milik Malaysian Refining Company (MRCSB), sekali gus memastikan bekalan tersedia melalui rantaian bersepadunya.
Naib Presiden Penapisan, Pemasaran dan Perdagangan Petronas Ahmad Adly Alias berkata syarikat itu diiktiraf peranannya dalam memacu usaha global ke arah pengurangan karbon khususnya dalam memacu aspirasi sifar bersih karbon Malaysia sebagai pemangkin utama dalam pembangunan bahan api masa depan.
"Penyahkarbonan industri penerbangan memerlukan laluan yang boleh dipercayai, dan bahan api penerbangan mampan adalah penyelesaian segera tersedia ketika ini,ā katanya dalam kenyataannya.
Beliau berkata projek perintis itu adalah pelaburan jangka panjang yang strategik untuk membina keupayaan dalaman melalui kemajuan dalam teknologi dan infrastruktur serta pembangunan bakat, untuk menyampaikan penyelesaian boleh dipercayai, kos efektif kepada rakan kongsi dan pelanggan.
āPencapaian ini juga telah meletakkan kami selangkah ke depan dalam menyokong sasaran kerajaan untuk bahan api penerbangan mampan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, mengukuhkan komitmen Petronas terhadap keselamatan tenaga negara dan pertumbuhan industri,ā katanya lagi.
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Malaysia Aviation Group Philip See berkata kerjasama yang kukuh merentas industri penerbangan penting untuk meningkatkan pengeluaran bahan api penerbangan mampan, menjadikannya lebih tersedia secara meluas, mudah diakses dan berpatutan.
āMAG teruja dengan kemajuan ini dan kekal komited untuk menerajui inisiatif yang mempercepatkan penggunaan bahan api penerbangan mampan, menyokong perjalanan Malaysia dan global ke arah masa depan yang lebih hijau dan lebih mampan untuk penerbangan,ā katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.