Skip to main content

Kewangan

Pesawat Boeing 737 MAX 8 milik SilkAir beroperasi ikut jadual sedang situasi dipantau

SilkAir, cabang penerbangan serantau Singapore Airlines (SIA) menyatakan pada Isnin (11 Mac) bahawa pesawat-pesawat Boeing 737 MAX 8 miliknya beroperasi mengikut jadual sedang ia "memantau situasi dengan teliti" ekoran nahas pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat Boeing 737 MAX 8 milik SilkAir beroperasi ikut jadual sedang situasi dipantau

Pesawat Boeing 737 MAX 8 SilkAir. (Gambar: Singapore Airlines)

Diterbitkan : 11 Mar 2019 02:55PM Dikemas Kini : 11 Mar 2019 03:29PM

SINGAPURA, SHANGHAI: SilkAir, cabang penerbangan serantau Singapore Airlines (SIA) menyatakan pada Isnin (11 Mac) bahawa pesawat-pesawat Boeing 737 MAX 8 miliknya beroperasi mengikut jadual sedang ia "memantau situasi dengan teliti" ekoran nahas pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas.

Pesawat Ethiopian Airlines terhempas beberapa minit setelah ia berlepas ke Nairobi dari Addis Ababa pada Ahad (10 Mac), mengorbankan semua 157 penumpang dan anak kapal.

Insiden itu adalah nahas kedua melibatkan pesawat 737 MAX yang mula digunakan pada 2017.

Pada Oktober tahun lalu pesawat 737 MAX dikendalikan syarikat penerbangan Indonesia, Lion Air, terhempas 13 minit selepas ia berlepas dari Jakarta, meragut nyawa semua 189 penumpang dan anak kapal.

SilkAir mempunyai enam pesawat Boeing 737 MAX 8 dengan lagi 31 sudah ditempah.

Menurut khidmat pengesan penerbangan global Flightradar24, enam pesawat itu melakukan penerbangan ke pelbagai destinasi di Asia dan Australia, termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Phuket, Chongqing, Bangalore dan Darwin.

Sementara itu, badan penyelia penerbangan China mengumumkan hari ini (11 Mac) bahawa ia sudah mengarahkan syarikat-syarikat penerbangan negara itu supaya menggantungkan operasi pesawat Boeing 737 MAX menjelang 6.00 petang. Langkah itu diambil menyusuli nahas Ethiopian Airlines, melibatkan pesawat 737 MAX 8.

Menurut stesen televisyen tempatan, lapan daripada penumpang pesawat berkenaan adalah rakyat China. 

Dalam satu kenyataan, Pentadbiran Penerbangan Awam Cina (CAAC) menyatakan ia akan memaklumkan syarikat-syarikat penerbangan bila mereka boleh menggunakan semula pesawat itu. Ini akan dilakukan selepas mereka menghubungi syarikat Boeing dan Pentadbiran Penerbangan Persekutan Amerika Syarikat bagi memastikan keselamatan penerbangan. 

Punca nahas pesawat Lion Air masih lagi disiasat. Namun laporan awal yang dikeluarkan pada November 2018, sebelum alat perakam suara kokpit ditemui, memberi tumpuan kepada penyenggaraan dan latihan yang dijalankan oleh syarikat penerbangan serta respons sistem mencegah pesawat jatuh dari ketinggian kepada sensor baru. Ia bagaimanapun tidak mendedahkan punca nahas tersebut.

Menurut media tempatan Caijing, kebanyakan penerbangan yang dijadual menggunakan pesawat 737 MAX akan sebaliknya menggunakan model pesawat 737-800.

Jurucakap Boeing enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

PIAWAIAN KESELAMATAN

Menurut laman pengesan penerbangan FlightRadar24, tiada pesawat Boeing 737 Max 8 dikesan di ruang udara China hingga pukul 12.43 pagi (waktu tempatan), Isnin (11 Mac).

Sebahagian besar daripada 15 pesawat Air China 737 MAX mendarat pada petang Ahad (10 Mac), kecuali dua pesawat dari destinasi luar negara yang mendarat pada pagi tadi (11 Mac), menurut data FlightRadar24.

Air China tidak menyenaraikan jadual penerbangan akan datang, yang menggunakan pesawat berkenaan. China Southern Airlines juga sudah menggantungkan operasi pesawat tersebut.

Empat daripada pesawat 737 MAX milik syarikat penerbangan China Eastern Airlines mendarat pada petang Ahad (10 Mac) dan tiada penerbangan dijadualkan sehingga Selasa (12 Mac), menurut data FlightRadar24.

Cayman Airways sudahpun menggantungkan kedua-dua pesawat baru 737 MAX 8 miliknya sehingga maklumat lanjut diterima, menurut satu kenyataan di lamannya.

Fiji Airways pula menyatakan ia sudahpun mematuhi proses induksi yang menyeluruh bagi pesawat Boeing 737 MAX 8 dan mempunyai penuh keyakinan bahawa ia sesuai untuk digunakan.

"Kami akan terus memastikan bahawa penyenggaraan serta program latihan bagi para juruterbang dan jurutera memenuhi piawai keselamatan tertinggi," menurut syarikat penerbangan itu.

Indonesia pula menyatakan ia akan terus memantau syarikat-syarikat penerbangannya yang menggunakan 737 MAX, termasuk Lion Air dan Garuda Indonesia. Ia bagaimanapun tidak menyatakan sebarang rancangan untuk menggantungkan operasi pesawat tersebut. 

Sumber : CNA/Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita