Skip to main content

Kewangan

Peruncit SG teroka kos lebih rendah, pasaran lebih luas di Johor Bahru

Terletak di sudut pusat beli-belah pinggir bandar 15km dari Tambak Johor-Singapura, cawangan pertama syarikat salun rambut Jepun QB House di Johor Bahru dengan mudah menarik perhatian ramai orang yang lalu-lalang.

Anggaran Waktu Membaca:
Peruncit SG teroka kos lebih rendah, pasaran lebih luas di Johor Bahru

Pemandangan dalam City Square di Johor Bahru pada 28 Mei 2025. Kos operasi yang rendah merupakan salah satu daya tarikan yang memikat peruncit dari Singapura untuk mengembangkan perniagaan mereka di Johor. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

JOHOR BAHRU: Terletak di sudut pusat beli-belah pinggir bandar 15km dari Tambak Johor-Singapura, cawangan pertama syarikat salun rambut Jepun QB House di Johor Bahru dengan mudah menarik perhatian ramai orang yang lalu-lalang.

Salun kecil di tingkat satu Aeon Tebrau Mall, menawarkan reka bentuk yang bersih dan minimalis.

Salah seorang pelanggan pertama QB House apabila cawangan itu dibuka pada 13 Mei ialah warga Singapura Jerry Ng, yang memutuskan untuk menggunting rambut yang tidak dirancang selepas meninjau-ninjau pusat beli-belah itu.

"Saya selalunya pergi ke tukang gunting rambut Melayu berhampiran tempat saya tinggal (di Singapura), tetapi saya memutuskan untuk mencuba sesuatu yang baharu," kata Encik Ng.

Ketika ditemui di cawangan berkenaan baru-baru ini, Osamu Matsumuto, ketua pegawai operasi dan pengarah syarikat induk rantaian itu, QB Net Holdings, memberitahu Mediacorp bahawa cawangan itu merupakan penerokaan pertama syarikat itu ke Johor Bahru dan ia sedang menimbangkan sekitar 10 cawangan di bandar tersebut dalam jangka pendek.

Beliau menambah bahawa QB House menghadapi pasaran yang semakin padat di Singapura, di mana ia sudahpun mempunyai 30 cawangan, dan sedang meneroka peluang untuk berkembang merentasi Tambak Johor untuk memanfaatkan kos di Johor yang lebih rendah.

"Singapura agak kecil dan terdapat terlalu banyak persaingan," kata Matsumoto.

“Saya mempunyai keyakinan yang kukuh (dalam rancangan untuk memperluaskan perniagaan kami ke Johor) kerana kami telah merancang perkara ini selama bertahun-tahun, dan kami percaya bahawa sekarang (adalah masa yang sesuai) kerana taraf hidup lebih tinggi dan jangkaan perkhidmatan yang berkualiti,” tambahnya.
Related article image
Cawangan pertama QB House di Aeon Tebrau Mall di Johor Bahru. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
QB House ialah salah satu daripada peruncit Singapura yang sedang menimbangkan untuk mengembangkan atau memindahkan cawangan mereka ke Johor Bahru, di mana kos operasi lebih rendah dan cita rasa untuk piawai runcit berkualiti tinggi semakin meningkat.

Sungguhpun demikian, kebanyakan syarikat sebegini menghadapi halangan dalam rancangan mereka. Cabaran-cabaran yang dihadapi termasuk mencari tenaga kerja mahir, menghadapi prosedur birokrasi serta kebimbangan bahawa cawangan mereka terletak di pusat beli-belah yang akhirnya gagal disebabkan oleh kekurangan pengunjung.

Presiden Persatuan Runcit Singapura Ernie Koh memberitahu Mediacorp: “Terdapat (aliran keluar) peruncit dari Singapura disebabkan oleh kos operasi yang lebih tinggi dan nilai dolar Singapura yang lebih kukuh berbanding dengan banyak mata wang serantau, jadi ramai yang membuka cawangan di Malaysia, Thailand dan Jepun."

"Lebih ramai yang menubuhkan operasi di Johor Bahru dan ya, ini mungkin mencabar atas sebab yang berbeza. Tetapi secara keseluruhannya, ia (masuk akal) kerana keyakinan terhadap jenama dari Singapura mendapat permintaan premium di Malaysia," tambahnya.

Ramai peruncit yang ditemui Mediacorp berkata, mereka terdorong oleh bagaimana Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura berpotensi meningkatkan permintaan untuk produk dan perkhidmatan mewah.

Namun, mereka menyatakan bahawa banyak insentif korporat untuk SEZ disasarkan kepada industri pengilangan dan farmaseutikal, dan lebih banyak lagi boleh dilakukan untuk mempertingkatkan dan mencergaskan sektor runcit.
Sumber : CNA/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita