Pertumbuhan ekonomi S'pura pada 2021 boleh atasi unjuran 4% hingga 6%: Ketua MAS
Melainkan berlaku kegenjotan pada ekonomi global, pertumbuhan ekonomi Singapura boleh mengatasi unjuran rasmi 4 hingga 6 peratus tahun ini, kata Encik Ravi Menon, pengarah urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Rabu (30 Jun).

Gambar: REUTERS
SINGAPURA: Melainkan berlaku kegenjotan pada ekonomi global, pertumbuhan ekonomi Singapura boleh mengatasi unjuran rasmi 4 hingga 6 peratus tahun ini, kata Encik Ravi Menon, pengarah urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Rabu (30 Jun).
Bercakap dalam sidang media mengenai laporan tahunan MAS, Encik Menon berkata ekonomi lebih meluas akan pulih pada separuh kedua tahun ini, sejajar permintaan global yang semakin kukuh dan kemajuan dalam program vaksinasi Singapura.
"Tahun ini merupakan satu perlumbaan antara virus dengan vaksin. Semakin cepat kita dapat memberi vaksin kepada penduduk, lebih cepat kita dapat kembali kepada keadaan seperti sedia kala," kata Encik Menon.
"Tetapi jika virus terus bermutasi pada kadar yang lebih pantas, dengan varian baru yang lebih mudah berjangkit, yang mungkin dapat bertahan daripada vaksin, maka kita akan mengalami keadaan ekonomi yang memburuk," tambahnya.
CABARAN SESETENGAH INDUSTRI
Ramalan rasmi Singapura dikekalkan pada 4 hingga 6 peratus bulan lalu memandangkan "ketidakpastian yang meningkat" di tengah langkah-langkah sekatan lebih ketat ekoran kes jangkitan tempatan COVID-19 yang meningkat. Ramalan tersebut akan disemak semula pada Ogos.
Memberikan penilaiannya berhubung ekonomi Singapura tahun ini, Encik Menon berkata bahawa ekonomi negara pada suku pertama 2021, berjaya meraih semula kerugian pengeluaran agregat yang ditanggung semasa pandemik COVID-19.
"Langkah sekatan dalam negeri yang diperketat dan kawalan sempadan baru-baru ini akan menyebabkan kemunduran jangka pendek pada segmen yang membentuk sekitar 8 peratus ekonomi negara," katanya.
Ini termasuk khidmat runcit, makanan & minuman (F&B) serta pengangkutan darat. Industri berkaitan dengan perjalanan seperti pengangkutan udara, penginapan, hiburan dan riadah juga mungkin mengalami pemulihan yang lebih lembap, katanya.
Sektor binaan dan kejuruteraan marin serta lepas pantai mungkin dihambat oleh kurangnya tenaga kerja, tambah beliau lagi.
Meskipun demikian, kesan ekonomi dari sekatan yang ada "kurang teruk" berbanding semasa tempoh "pemutus rantaian jangkitan" tahun lalu, kata Encik Menon.
"KITA BOLEH TAHAN PENULARAN KECIL"
Menjawab pertanyaan seorang wartawan mengenai kesan vaksinasi terhadap pertumbuhan Singapura, Encik Menon berkata Singapura akan mempunyai "lebih banyak ruang untuk membuka semula ekonomi" sebaik sahaja 70 hingga 80 peratus penduduknya divaksinasi.
Merujuk kepada pengumuman pihak berkuasa sebelum ini bahawa Singapura mungkin perlu hidup dalam kebiasaan baru di mana COVID-19 adalah endemik, Encik Menon berkata: "Kita boleh bertahan jika berlaku penularan kecil sekali sekala dan meneruskan kehidupan dan perniagaan seperti sebelumnya ... dan begitulah keadaan yang diharapkan pada akhir tahun ini. "
EKONOMI SEJAGAT
Penilaian beliau tentang ekonomi global adalah positif, tetapi beliau juga menekankan wujudnya beberapa "risiko yang ketara".
Risiko utama adalah kemunculan lebih banyak mutasi virus yang lebih mudah berjangkit atau membawa maut, serta inflasi di Amerika Syarikat.
Rentak pemulihan ekonomi yang pantas di Amerika Syarikat boleh mengakibatkan "kenaikan harga yang ketara dan berterusan", jelas Encik Menon.
Tanda-tanda bahawa momentum inflasi terlalu kukuh boleh menyebabkan kadar faedah meningkat.
"Ringkasnya, sementara ekonomi global berada di kedudukan yang jauh lebih baik berbanding tahun lalu, ketidakpastian tetap tinggi," katanya.
Di Singapura, inflasi teras dijangka terus pulih secara beransur-ansur, dengan ramalan bagi 2021 tidak berubah pada 0 hingga 1 peratus. MAS menyemak semula unjuran inflasi CPI-Semua Barang menjadi 1 hingga 2 peratus dari 0.5 hingga 1.5 peratus, disebabkan kenaikan mendadak premium COE pada suku kedua.
PASARAN HARTANAH "BERDAYA TAHAN"
Sementara itu, Encik Menon berkata pasaran hartanah di Singapura kekal "berdaya tahan" dalam menghadapi pandemik dan kemelesetan ekonomi.
Meskipun GDP nominal menguncup 8.2 peratus tahun lalu, indeks harga hartanah kediaman tumbuh 1.6 peratus. Pada suku pertama 2021, indeks berada pada paras 5.6 peratus lebih tinggi berbanding tahap sebelum pandemik, meskipun GDP yang dicatatkan sekitar 4 peratus di bawah tahap sebelum COVID-19, kata MAS.
"MAS, bersama dengan MND (Kementerian Pembangunan Negara) dan URA (Penguasa Pembangunan Semula Bandar), tetap memantau dengan teliti risiko kenaikan harga yang berterusan berbanding trend pendapatan," kata Encik Menon.
"Jurang yang berpanjangan antara harga dengan pendapatan tidak mampu bertahan dari perspektif kestabilan pasaran dan tidak diinginkan dari perspektif kemampuan perumahan."
Ditanya kemudian sama ada langkah-langkah penyejukan pasaran hartanah sedang dipertimbangkan, Encik Menon berkata pasaran saat ini tidak "terlalu panas": "Kami tidak akan pernah memberitahu terlebih dahulu sama ada akan melaksanakan langkah (penyejukan) - itu bukan tujuan pelaksanaan langkah-langkah tersebut. Jadi nantikan dan awasi, dan kami berharap pasaran akan terus stabil. "
PRESTASI SEKTOR KEWANGAN
Tahun lalu, sektor khidmat kewangan tumbuh 5.1 peratus walaupun ekonomi keseluruhannya merosot. Pada separuh pertama 2021, sektor tersebut dianggarkan berkembang sekitar 6 peratus.
Pertumbuhan dicatatkan secara meluas di seluruh sektor khidmat kewangan, dan teknologi kewangan atau fintech juga terus berjalan dengan baik, kata Encik Menon.
Aset yang dikendalikan di Singapura tumbuh 17 peratus kepada S$4.7 trilion pada akhir 2020, didorong oleh aliran masuk yang kuat ke dalam strategi pelaburan tradisional dan alternatif serta keuntungan penilaian di pasaran aset utama.
Sektor khidmat kewangan melepasi sasaran tambah nilai dan pekerjaan yang ditetapkan oleh Pelan Induk Transformasi Industri (ITM) bagi 2016 hingga 2020, umum Encik Menon.
Pertumbuhan nilai tambah dalam tempoh lima tahun dicatat pada purata 5.4 peratus setahun, melebihi sasaran ITM sebanyak 4.3 peratus. Sektor tersebut menambah purata 4,700 pekerjaan setahun, melebihi sasaran 4,000.
MAS sudah mula menyemak strategi dan sasaran ITM bagi lima tahun akan datang, katanya.
"Teknologi akan membentuk semula perkhidmatan kewangan dalam 10 tahun akan datang, jauh lebih mendalam daripada yang berlaku dalam tempoh lima tahun lalu," kata Encik Menon.
"Kemampanan akan menjadi tumpuan bagi khidmat kewangan sedang dunia berusaha ke arah masa depan rendah karbon."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.