Skip to main content

Kewangan

Pertumbuhan ekonomi Indonesia kekal di atas purata global, kata Jokowi

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo mengulangi bahawa negara itu berjaya mengekalkan kadar pertumbuhan ekonominya, lebih daripada kadar purata global.

"Pertumbuhan ekonomi Indonesia kekal di sekitar lima peratus secara konsisten, melebihi kadar purata global iaitu 3.4 peratus," katanya semasa pembentangan Draf Belanjawan Negara (RAPBN) dan nota kewangannya di Kompleks Parlimen, Jakarta, pada Jumaat (16 Ogos).

Encik Jokowi memuji rakyat Indonesia, dan menyifatkan mereka sebagai negara yang berdaya tahan, selepas berdepan pelbagai cabaran global sejak sedekad lalu, seperti pandemik COVID-19. ketegangan geopolitik, perang perdagangan, krisis, dan bencana akibat perubahan iklim.

"Alhamdulillah, di tengah-tengah cabaran dan keadaan tidak menentu, keadaan politik dan ekonomi kekal stabil, malah semakin bertambah," katanya.

Encik Jokowi menarik perhatian mengenai 21.3 juta tenaga kerja baharu semasa tempoh 2015-2024, sambil menonjolkan nisbah hutang Indonesia adalah di antara yang paling rendah dalam kalangan negara-negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan G20.

Selain itu, Encik Jokowi menekankan bahawa nilai eksport Indonesia meningkat lebih 70 peratus, yang mencecah AS$259 bilion (S$342 bilion) tahun lalu.

Trend positif tersebut ditambah dengan dagangan tambahan dalam tempoh 51 bulan yang lalu.

Menurut data Perangkaan Indonesia (BPS), nilai eksport pada Jun 2024 berjumlah AS$20.84 bilion (S$27.5 bilion), dengan sektor pengilangan menjadi penyumbang paling besar.

Pada 15 Julai, Pemangku Ketua BPS Amalia Adininggar Widyasanti mendedahkan bahawa sepanjang tempoh antara Januari hingga Jun 2024, nilai eksport sektor pengilangan Indonesia dinilai sebanyak AS$91.65 bilion (S$121 bilion).

Sektor tersebut menyumbang sebanyak 73.27 peratus kepada jumlah nilai eksport Indonesia.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita