Perniagaan perlu terima lebih saingan tempatan demi raih manfaat penyepaduan ASEAN: PM Lee
Setelah meraih manfaat daripada penyepaduan ASEAN dan ekonomi-ekonomi terbuka dan saling terkait, perniagaan juga perlu bersiap sedia untuk menyesuaikan diri dan menerima lebih persaingan dalam pasaran tempatan masing-masing
SINGAPURA: Setelah meraih manfaat daripada penyepaduan ASEAN dan ekonomi-ekonomi terbuka dan saling terkait, perniagaan juga perlu bersiap sedia untuk menyesuaikan diri dan menerima lebih persaingan dalam pasaran tempatan masing-masing. Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (12 Nov).
Berucap kepada lebih seribu peserta dari negara-negara serantau di Sidang Puncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN, PM Lee menekankan bahawa perniagaan-perniagaan tidak selalunya memberi sokongan apabila pasaran tempatan dibuka kepada persaingan global dan akan cuba mempengaruhi pemerintah untuk melaksanakan peraturan atau memastikan industri kekal tertutup untuk melindungi perniagaan masing-masing.
Bagaimanapun beliau menekankan bahawa perniagaan-perniagaan perlu memainkan peranan mereka sedang pemerintah-pemerintah dari pertubuhan serantau 10 anggota itu mempergiat kerjasama ekonomi.
"Lebih bersepadu dan terbuka pasaran-pasaran kami, dan lebih sesuai undang-undang dan persekitaran perniagaan kami untuk pelaburan asing, lebih besar hasil dan manfaatnya," menurutnya.
PERLU LEBIH PENYEPADUAN UNTUK CAPAI POTENSI ASEAN SEPENUHNYA
Dalam ucapannya, PM Lee menarik perhatian bahawa negara-negara anggota ASEAN sudah berkembang maju sedang ekonomi masing-masing mencapai pembangunan dan anggota-anggotanya lebih yakin mengenai perpaduan ekonomi yang lebih mendalam.
Beliau menarik perhatian, hasilnya dapat dilihat hari ini, menukil beberapa contoh seperti ASEAN Single Window yang dilaksanakan pada Januari untuk lima negara anggota dan bertujuan membantu pedagang mengurangkan kos dengan mempercepatkan proses pelepasan kargo dan mengurangkan kerja menulis serta Perjanjian ASEAN mengenai e-dagang, yang akan dimeterai pada Isnin (12 Nov).
PM Lee menambah bahawa Pelan Induk Masyarakat Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 akan membantu membimbing negara-negara anggota memperdalam penyepaduan ekoomi serta membuka sempadan pertumbuhan dan peluang-peluang perniagaan baru.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.