Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Perniagaan pengurup wang masih merudum; 80 gulung tikar atau gantung lesen sejak Dis 2019

Walaupun kini musim cuti sekolah dan orang ramai boleh melancong ke luar negara menerusi Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL), ternyata perniagaan para pengurup wang masih merudum.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Walaupun kini musim cuti sekolah dan orang ramai boleh melancong ke luar negara menerusi Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL), ternyata perniagaan para pengurup wang masih merudum.

Sekurang-kurangnya tiga pengurup wang yang ditemui BERITAmediacorp berkata, jumlah pelanggan yang ke kedai mereka setiap hari bertambah sedikit sahaja dan peningkatan itu "tidak ketara sama sekali".

FIAT Money Changer di The Arcade misalnya hanya ada dua atau tiga pelanggan setiap hari. Ini berbanding 100 pelanggan sehari yang disambut sebelum pandemik COVID-19 melanda.

BERITAmediacorp juga mendapati beberapa pengurup wang memilih untuk tidak menawarkan mata wang asing tertentu.

Sebagai contoh, Encik S M Wong dari E-Globex Pte Ltd memutuskan untuk tidak menawarkan mata wang lira Turki buat sementara waktu kerana "tidak ingin menanggung risiko". Mata wang Turki kini tidak stabil dan nilainya dilaporkan 45 peratus lebih rendah daripada nilai asalnya, berbanding dolar Amerika.

Faizam Forex Pte Ltd pula semakin bimbang. Jumlah pelanggannya kembali berkurangan sejak varian Omicron dikhabarkan muncul baru-baru ini.

Jadi jelas, VTL belum lagi ada kesan positif terhadap para pengurup wang. VTL Singapura-Malaysia yang bermula dua minggu lalu juga belum lagi merangsang perniagaan mereka. Jumlah yang ditukar para pelanggan pula kecil - kebanyakannya bawah S$1,000.

80 PENGURUP WANG GULUNG TIKAR/TANGGUH LESEN

Mengulas tentang perkara ini, pakar ekonomi yang juga Ketua Kajian dan Strategi Mata Wang Asing Maybank, Encik Saktiandi Supaat berkata, jumlah penumpang VTL belum cukup tinggi untuk memacu perniagaan para pengurup wang kepada paras yang dicatat sebelum berlakunya pandemik.

"Secara amnya, VTL pada masa ini boleh dikatakan di dalam fasa awal. Kita belum melihat 'volume' (jumlah pelancong) yang tinggi buat masa ini," ulas Encik Saktiandi.

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, jurucakap Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan bahawa Singapura mempunyai 325 pengurup wang berlesen setakat 31 Disember 2019, iaitu sebelum COVID-19 mula mendapat perhatian dunia.

Bagaimanapun sekarang, hanya ada 285 pengurup wang yang tinggal dan 43 daripada mereka sedang menggantung operasi perniagaan buat sementara waktu.

Ini bermakna, sekitar 80 pengurup wang sudahpun gulung tikar atau menggantung lesen mereka buat sementara waktu sepanjang tempoh dua tahun ini.

MAS turut mendedahkan, hanya ada tiga pengurup wang yang kembali membuka kedai sejak Singapura memperkenalkan skim VTL.

Ini seolah-olah menggambarkan para pengurup wang belum lagi cukup yakin bahawa pasaran perniagaan mereka akan pulih.

S$1 = RM3.09... TUKAR SEKARANG ATAU NANTI?

Persoalannya bagi para 'pembeli' pula, bilakah masa terbaik untuk melalukan pertukaran mata wang asing?

Bagi ringgit umpamanya, orang ramai boleh ulang-alik ke Malaysia melalui laluan udara dan darat tanpa perlu kuarantin. Tukar sekarang atau nanti?

Mentelah lagi, Perdana Menteri Lee Hsien Loong baru-baru ini menyatakan Singapura dan Malaysia ingin membuka "lebih banyak sempadan" walaupun varian baru Omicron boleh menjejas rancangan meluaskan VTL antara kedua-dua negara.

Ini jawapan Encik Saktiandi:

"Jika kerana perlu ke Malaysia, saya rasa kalau boleh tukarlah sekarang kerana bekalan ringgit mungkin tidak ada banyak di pengurup wang. Jika tidak perlu, boleh tunggu."

Sebabnya, terang Encik Saktiandi, mata wang Singapura mungkin lebih kukuh pada tahun depan kerana MAS dijangka akan memperketatkan dasar pertukaran mata wang asing pada bulan April.

"Jadi, kami meramalkan ringgit berbanding dolar Singapura masih lebih kurang antara 3.05 hingga 3.10 untuk tahun 2022," katanya lagi.

Dalam dagangan mata wang pada Rabu (9 Dis), ringgit dibuka pada paras RM3.09 berbanding dolar Singapura.

Encik Saktiandi menambah, faktor-faktor luar lain juga perlu diteliti jika kita ingin menukar kepada mata wang Australia, Euro, Amerika mahupun China.

"Kita boleh melihat faktor-faktor seperti situasi COVID atau Omicron, situasi minyak, situasi naratif global termasuk pertumbuhan GDP global, dan juga dari segi faktor-faktor seperti dasar kewangan Amerika Syarikat. Adakah mereka akan menaikkan kadar faedah tahun depan?" jelas Encik Saktiandi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan