Skip to main content

Kewangan

Perniagaan merosot, Mustafa Centre hantar pulang pekerja asing yang luput tempoh pas kerja

Mustafa Centre akan menghantar pulang para pekerja asingnya yang sudah luput tempoh sah pas kerja, sedang pandemik COVID-19 menjejas teruk perniagaannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Perniagaan merosot, Mustafa Centre hantar pulang pekerja asing yang luput tempoh pas kerja

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 30 Aug 2020 11:34PM Dikemas Kini : 30 Aug 2020 11:36PM

SINGAPURA: Mustafa Centre akan menghantar pulang para pekerja asingnya yang sudah luput tempoh sah pas kerja, sedang pandemik COVID-19 menjejas teruk perniagaannya.

Para pekerja tersebut akan menerima gaji sebulan, dan syarikat itu juga akan membiayai tiket penerbangan pulang mereka, menurut pengarah urusan yang juga pengasas Mustaq Ahmad pada Khamis (27 Ogos) dalam satu surat kepada semua pekerja Mustafa dan syarikat-syarikat berkaitan.

Dalam surat itu Encik Mustaq juga berkata Mustafa akan berhenti membayar "elaun perbelanjaan keperluan" sebanyak S$300 kepada para pekerjanya yang belum dipanggil untuk bekerja semula, mulai 1 Oktober.

Elaun ini diagihkan kepada para kakitangan itu sejak Jun tahun ini.

"Kami menggesa semua pekerja yang belum dipanggil bekerja supaya mengambil pekerjaan kedua bagi meraih pendapatan," tambah beliau.

Mediacorp telah menghubungi Mustafa untuk bertanya tentang jumlah pekerja tempatan dan asing yang akan terjejas oleh langkah-langkah itu.

Encik Mustaq berkata, perniagaan Mustafa terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan syarikat itu tidak menjangkakan perniagaannya akan "pulih ke paras sebelum COVID kerana sempadan antarabangsa semuanya ditutup".

"Waktu operasi kami sudah disingkatkan dan langkah jarak selamat yang ketat dilaksanakan," kata beliau. "Kami tidak dapat memanggil balik semua kakitangan untuk bekerja atas sebab-sebab ini."

Semasa tempoh ini, Mustafa mengambil "langkah serius" untuk mengurangkan perbelanjaannya demi mengharungi penularan pandemik virus korona, kata Encik Mustaq.

Namun langkah-langkah itu tidak mencukupi, lantas syarikat itu perlu berhenti membahagikan elaun perbelanjaan keperluan untuk mengurangkan kos gaji, kata beliau.

Encik Mustaq menambah bahawa Mustafa sedang bekerjasama dengan Kesatuan Sekerja Manual dan Merkantil Singapura dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) serta Majlis Keselamatan Pekerjaan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) mengenai peluang pekerjaan bagi kakitangannya yang mungkin berminat.

Bagi para pekerja yang sudah mendapat kerja baru, Mustafa akan menerima surat peletakan jawatan tanpa notis dan menyediakan gaji sebulan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka kepada syarikat itu.

Mustafa menyatakan para pekerja yang sedang mencari kerja telah meminta syarikat itu untuk mengetepikan tempoh notis.

"Kami dengan berat hati terpaksa mengambil langkah-langkah ini namun berharap perniagaan akan kembali biasa secepat mungkin," kata Encik Mustaq.

Sumber : Today/TQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita