Skip to main content

Kewangan

Perniagaan di S'pura tercerut akibat kenaikan harga minyak, bekalan di tengah krisis Rusia-Ukraine

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perniagaan di pelbagai sektor semakin tertekan ekoran  pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang  mengganggu rantaian bekalan global dan menyebabkan kenaikan kos minyak dan bahan-bahan makanan utama.

Dengan Rusia merupakan salah satu daripada tiga pengeluar minyak utama di dunia, kebimbangan tentang masalah bekalan mendorong kenaikan harga minyak sejagat sekali gus, harga di pam minyak. 

Konflik Rusia-Ukraine itu juga mencetuskan kebimbangan tentang pengeluran  gandum dunia dan bekalan minyak yang boleh dimakan. 

Kedua-dua Rusia dan Ukraine menyumbang kepada lebih 25 peratus eksport biji gandum sedunia, manakala Ukraine menyumbang hampir separuh eksport minyak bunga matahari. Kedua-duanya merupakan bahan keperluan utama dalam banyak produk makanan. 

Keprihatinan sedemikian menyebabkan harga barangan asas melambung, mencerminkan krisis di pasaran kuasa tenaga. Dalam pada itu, tekanan dalam rantaian bekalan sejagat turut meningkat. 

"Bukan sahaja konflik itu mengganggu perdagangan barangan keperluan utama. Namun, dasar pemerintah dan sekatan yang diperkenalkan sejak permulaan konflik itu memaksa syarikat pengangkutan untuk mengatur semula operasi dan mengurangkan muatan bagi perjalanan antara bahagian timur dan barat dunia," menurut laporan oleh firma Moody's Analytics minggu ini. 

"Tanpa sebarang kelegaan" kepada rantaian bekalan global, para pakar menambah kadar pengangkutan, kelengahan dalam penghantaran dan harga import akan terus meningkat dalam masa terdekat ini. 

"RAMAI CEMAS" 

Syarikat pengangkutan dan penghantaran merupakan antara syarikat yang terjejas, sedang harga minyak petrol dan diesel meningkat bagi setiap perjalanan. 

Harga minyak naik hampir 30 peratus sejak tahun lalu, dan boleh menyumbang kepada sehingga sepertiga kos pengendalian bagi syarikat-syarikat kecil, menurut bendahari kehormat Persatuan Logistik Singapura, Ken Ngan. 

Kadar pengangkutan melalui khidmat udara dan laut juga dijangka meningkat, sejajar lonjakan harga minyak baru-baru ini. 

Terdapat juga kemungkinan syarikat-syarikat penerbangan dan perkapalan mengenakan premium insurans lebih tinggi bagi faktor berkaitan risiko peperangan, kata Encik Ngan kepada Mediacorp. 

Syarikat pengilangan borong dan pengedaran makanan juga sedang memantau dengan teliti kadar pengangkutan, yang akan memakan belanja lebih tinggi untuk menggerakkan barangan mereka. 

Satu lagi keprihatinan ialah kenaikan harga barangan keperluan asas. Memandangkan kawasan Laut Hitam menyumbang sebahagian besar bekalan biji gandum dan minyak makan global, konflik itu menyebabkan pedagang barangan itu untuk mencari alternatif. 

"Ia mencetuskan perasaan cemas," menurut Encik David Tan, Presiden Persatuan Pengilang Makanan Singapura (SFMA). 

"Misalnya, pedagang kini membeli kebanyakan biji gandum daripada Australia, Kanada dan Amerika Syarikat. Dengan kenaikan harga dan permintaan yang pesat, kami menyaksikan harga secara amnya sudah melambung tinggi." 

Ini bermakna meskipun Singapura tidak membawa masuk biji gandum langsung daripada negara-negara yang terlibat dalam peperangan, syarikat di Singapura mungkin masih perlu membuat bayaran lebih tinggi bagi bekalan daripada negara-negara lain, menurut Encik Tan. 

Selain biji gandum dan jagung, harga minyak kelapa sawit juga meningkat sejak permulaan konflik itu. Ini membawa kesan terutama sekali kepada pengilang makanan yang menggunakan jumlah minyak yang tinggi untuk menghasilkan produk seperti makanan ringan dan mi, tambah SFMA. 

Sektor-sektor lain turut meluahkan keprihatinan mereka. 

Pengurus besar syarikat PQ Builders, Encik Peh Ke-Pin, berkata syarikat binaan juga terjejas dengan kenaikan harga minyak petrol dan diesel. Namun, apa yang lebih membimbangkan ialah sama ada kos kuasa tenaga akan menyebabkan harga bahan binaan meningkat. Ini kerana banyak kuasa tenaga, terutamanya gas, diperlukan untuk menghasilkan batu bata, simen dan konkrit. 

Selain itu, harga keluli dan aluminium juga menjadi salah satu keprihatinan, memandangkan Rusia merupakan salah satu pengeluar utama besi berkenaan. 

"Ini akan menjejas kos menghasilkan bahan-bahan tersebut. Apa yang membimbangkan adalah pengilang akan mengambil kira semua ini dan  kesempatan untuk menaikkan harga lagi," kata Encik Peh. 

KESAN  TERHADAP PENGGUNA "TIDAK BOLEH DIELAKKAN"

Syarikat-syarikat yang sedang bergelut dengan tekanan inflasi yang meningkat dan kekurangan tenaga manusia, memberitahu Mediacorp bahawa pelanggan juga akan terkesan oleh kenaikan kos. 

"Syarikat-syarikat logistik sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyerap kenaikan kos minyak dari pelbagai sudut. Namun, pusingan terakhir kenaikan kos minyak dan tenaga elektrik khususnya sukar untuk ditanggung," menurut Encik Ngan. 

"Banyak syarikat logistik sedang merayu kepada pelanggan mereka untuk mengongsi kenaikan harga minyak buat sementara bagi mengharungi tempoh mencabar ini." 

Pengedar makanan dan penjual borong juga "tidak mempunyai pilihan lain selain menyalurkan kenaikan harga" kepada pelanggan. 

"Kenaikan ini bukan sekadar satu angka, tetapi sudah melonjak sebanyak 20 hingga 80 peratus," menurut Ketua Eksekutif X-Inc, Nichol Ng. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita