Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pernah dengar Nasi Besek & Nasi Kecombrang? Dapur Dahar sediakan beraneka nasi asli Indonesia

Jika anda rindu hendak menyantap hidangan asli dari Indonesia. Mungkin rencana ini akan membuat anda terliur.

Anggaran Waktu Membaca:
Pernah dengar Nasi Besek & Nasi Kecombrang? Dapur Dahar sediakan beraneka nasi asli Indonesia

Pemilik Dapur Dahar (kiri), Nasi Tumpeng (kanan, atas) dan Nasi Besek (kanan bawah). (Gambar: Dapur Dahar)

SINGAPURA: Jika anda rindu hendak menyantap hidangan asli dari Indonesia. Mungkin rencana ini akan membuat anda terliur.

Nasi Besek, Nasi Liwet, Nasi Tumpeng dan Nasi Bakar Bento adalah antara air tangan Cik Dessy Dwi Anggraini, iaitu pemilik Dapur Dahar - perniagaan online di Instagram.

Dessy Dwi Anggraini, pemilik Dapur Dahar. (Gambar: Dapur Dahar)

Namanya sahaja sudah unik. Warnanya meriah dengan pelbagai jenis lauk pauk. Inilah antara sajian asli asal Jawa yang berjaya memikat hati ramai di kota Singa.

Dahar adalah bahasa Sunda yang bermakna makan atau santap.

Cik Dessy Dwi Anggraini memberitahu BERITAmediacorp beliau mahu orang ramai dapat menikmati sajian yang boleh dikaitkan dengan citarasa kampung.

Wanita berusia 39 tahun ini berasal dari Indonesia. Beliau dan suaminya berhijrah ke Singapura pada tahun 2009 setelah suaminya ditugaskan di sini. Mereka merupakan penduduk tetap dan mempunyai dua orang anak perempuan yang kini berusia 13 dan 8 tahun.

Dapur Dahar merupakan perniagaan yang dimulakan dari rumah semasa pemutus rantaian jangkitan atau Circuit Breaker pada tahun lalu. Sebelum itu Cik Dessy bertugas sebagai seorang eksekutif di salah sebuah syarikat setempat.

“Awal mula perjalanan Dapur Dahar bukanlah sesuatu yang saya rancangkan. Pada Mac 2020, saya terpaksa berhenti kerja untuk fokus pada anak bongsu saya waktu itu. Dia dimasukkan ke hospital akibat jangkitan otak,” cerita Cik Dessy.

“Pada waktu itu saya hanya ingin memberi tumpuan kepada jagaan anak dan bersyukur beliau kini pulih sepenuhnya,” sambungnya lagi.

(Gambar: Dapur Dahar)

Menurut wanita yang peramah ini semasa pemutus rantaian jangkitan, setiap hari beliau kerap masak di rumah untuk mengisi masa dan menghilangkan rasa bosan. “Setiap hari bila bangun pagi, saya akan masak atau membuat pelbagai kuih muih. Dari situ saya mula berikan sajian asli Indonesia ini kepada rakan-rakan di sini untuk ceriakan mereka dalam mengharungi 'circuit breaker' kerana mereka tidak dapat pulang ke Indonesia.”

Menurut Cik Dessy, teman-temannya kemudian membuat permintaan agar beliau dapat mengambil tempahan. Dari situ lahirlah Dapur Dahar. Sambutannya sangat menggalakkan kerana perniagaan beliau mendapat maklum balas yang positif.

Lebih setahun sudah berlalu dan kini Dapur Dahar sudah mempunyai lebih 1000 pengikut di akaun Instagram beliau. Bermacam-macam jenis nasi yang ditawarkan untuk menepati semua majlis atau untuk dinikmati secara santai.

VARIASI NASI WARNA-WARNI 

Apabila melihat gambar-gambar yang dimuat naik ke Instagram Dapur Dahar, ia pasti akan membuat anda rasa lapar.

Hiasannya cantik dengan beraneka lauk pauk. Setiap hari tempahan tidak putus-putus. Cik Dessy dan pembantunya akan bersama-sama bekerja keras di dapur untuk menyiapkan sajian-sajian yang ditempah oleh pelanggan.

Nasi Tumpeng tampil unik, berbentuk kon dan digandingkan dengan lauk-pauk sampingan. Menurut Cik Dessy, tumpeng melambangkan rasa terima kasih atau terhutang budi. Ia menepati majlis keramaiaan seperti hari jadi, majlis perasmian, acara korporat dan lain-lain.

Warna nasinya kuning dan setiap set tampil dengan lauk pauk seperti ayam goreng, ayam bakar, sambal goreng hati, orek tempe, urap, bakwan jagung, bergedil, telur belado, mi goreng bakso dan sambal. Pilihan lauk semuanya bergantung kepada bajet dan permintaan pelanggan.

Nasi Tumpeng. (Gambar: Dapur Dahar)

Bagi yang gemar lauk sambal udang, rendang daging dan sotong anda juga boleh membuat pesanan dengan harga tambahan. Menurut Cik Dessy, baru-baru ini beliau menerima tempahan untuk membuat Nasi Tumpeng bertemakan Darth Vader. "Seronok,” ujar beliau penuh ceria.

Nasi Tumpeng Darth Vader. (Gambar: Dapur Dahar)

Satu lagi sajian yang popular ialah Nasi Besek. Besek merupakan bakul buluh yang mesra alam sekitar. “Ia cantik dan sesuai untuk dijadikan hadiah atau kenduri dan majlis kesyukuran. Pelanggan boleh memilih untuk letakkan sajian nasi di dalam bakul ini. Lauk pauk sampingannya juga mirip seperti Nasi Tumpeng bergantung kepada permintaan masing-masing,” kata Cik Dessy yang memiliki Sijil Kebersihan Makanan Asas (WSQ).

Nasi Besek. (Gambar: Dapur Dahar)

Nasi Kecombrang pula merupakan nasi yang dimasak menggunakan santan dan bunga honje. Walaupun menggunakan santan rasanya berbeza dengan nasi lemak. Enak bila digandingkan dengan pelbagai lauk pauk dan sambal.

Nasi Kecombrang. (Gambar: Dapur Dahar)

Beralih pula ke Nasi Liwet yang berasal dari Sunda, nasinya unik. Berasnya dimasak bersama bawang merah, bawang putih, ikan bilis, ikan asin dan bumbu-bumbu yang lain. Ia juga enak dipadankan dengan lauk pilihan ayam goreng, empal daging cabe ijo, terung belado, cumi cabe hijau, bakwan jagung dan sambal.

Nasi Liwet. (Gambar: Dapur Dahar)

Pendek kata, apa juga pilihan nasi ia pasti tidak mengecewakan. Rasanya seperti masakan kampung yang asli.

HARGA DAN TEMPAHAN

Menyentuh tentang harga pula, set nasi yang dijual bermula dari $7.50 untuk set Nasi Bakar Bento. Untuk hidangan Nasi Bakar, nasinya dipanggang dalam daun pisang bersama ayam atau sotong. Kata Cik Dessy, sajian ini merupakan antara 'best seller' dan popular.

Harga set Nasi Tumpeng $14 untuk seorang sementara set Nasi Besek bermula dari $11 seorang, semuanya bergantung kepada pilihan lauk. “Kami cuba menawarkan harga yang mampu bagi orang ramai dan fleksibel dengan permintaan pelanggan. Mereka boleh memilih lauk berdasarkan citarasa masing-masing,” kata Cik Dessy yang fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dan Indonesia.

(Gambar: Dapur Dahar)

Menurutnya lagi, buat masa ini beliau terpaksa mengehadkan pesanan kerana ingin menghasilkan yang terbaik untuk setiap tempahan yang diambil. “Saya tidak akan masak setiap hari kerana saya tahu had pada diri sendiri. Saya percaya kalau ada rezeki tidak ke mana.”

Jika mempunyai masa lapang, beliau akan tingkatkan diri untuk menghadiri pelbagai kelas, termasuk kelas membuat kuih-muih selain beriadah bersama keluarga dengan berbasikal, membaca dan menjaga tanaman hijau yang digemarinya.

Akhir sekali, seperti ahli niaga yang lain, Cik Dessy turut mempunyai harapan untuk meluaskan bisnes. “Mungkin boleh buka gerai satu hari nanti. Siapa tahu? Buat masa ini saya sedang nikmati proses yang sedia ada ini.”

“Ada juga pelanggan dari Indonesia yang menyuruh saya hantar Nasi Tumpeng dan Nasi Besek kepada saudara mara mereka di Singapura. Saya rasa syukur bila dapat membantu mereka untuk berkongsi kebahagian,” kata Cik Dessy mengakhiri bicara.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan