Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Permintaan setempat bagi produk kewangan Islam kembali rancak, kata karyawan industri

Permintaan bagi produk kewangan Islam di Singapura kembali rancak menyusuli tempoh malap industri itu  sejak beberapa tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Permintaan bagi produk kewangan Islam di Singapura kembali rancak menyusuli tempoh malap industri itu  sejak beberapa tahun lalu.  

Para pakar kewangan Islam yang ditemui di Simposium Rizq 2023 anjuran IFSG Ltd membuat pemerhatian itu sedang kedudukan kewangan masyarakat Islam semakin mantap.

Namun mereka juga mendapati tahap celik kewangan Islam masih perlu dipertingkatkan.

KEKAYAAN MASYARAKAT ISLAM

Masyarakat Islam setempat semakin mencatat kemajuan dari segi kewangan. 

Dalam tempoh sedekad lalu, pendapatan median seorang anggota isi rumah naik daripada S$1,043 kepada S$1,594 sebulan. 

Selaras itu, nilai kekayaan masyarakat Islam juga mencatat peningkatan dalam tempoh beberapa tahun lalu. 

Sejak 2017, jumlah keseluruhan zakat yang dikumpulkan meningkat 36 peratus daripada S$40.4 juta kepada S$54.9 juta pada 2021.

Ini sekali gus rekod tertinggi dicatat dalam tempoh 11 tahun.

"Di kalangan masyarakat kita yang punya aset,  mereka mempunyai kecairan (liquidity) atau mempunyai wang tunai yang lumayan. Jadi mereka ingin memanfaatkan wang tunai yang ada pada diri mereka supaya wang mereka itu boleh mendatangkan pulangan yang lebih besar. Bukan saja meletakkan wang mereka dalam simpanan tetap. Mereka mahu menjana pendapatan lebih besar. Itu di antara sebab saya lihat bahawa masyarakat kita sedang mencari produk-produk yang baru, yang inovatif, yang 'Islami'," kata Ustaz Kamal Mokhtar, seorang penasihat syariah. 

Menurut pakar industri, permintaan yang kembali rancak bagi produk kewangan Islam dapat dilihat sedang kesedaran agama juga meningkat. 

Sama ada dalam bentuk pelaburan, takaful atau sistem perbankan Islam, minat terhadapnya juga didorong oleh kesedaran tentang pentingnya perancangan kewangan peribadi.   

Bagaimanapun para karyawan industri berpendapat tahap celik kewangan Islam dalam kalangan masyarakat Islam setempat masih di peringkat awal. 

"Simposium ini diadakan untuk memperkenalkan masyarakat Islam Singapura akan alternatif dan solusi kewangan dan pelaburan yang patuh syariah," kata Muhammad Ridhwaan Radzi, Pengurus Besar IFSG. 

"Simposium ini diadakan pada masa kini kerana masyarakat lebih terbuka kepada peluang-peluang yang sedia ada di Singapura ini lebih-lebih lagi pada awal tahun." 

Lantaran itu Simposium Rizq berharap untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Islam di Singapura tentang hal-hal berhubung kewangan peribadi dan tanggungjawab sosioekonomi menerusi wadah pendidikan yang diterajui pemimpin tempatan. 

"Menabung dan memastikan kewangan kita mampan untuk keluarga kita, untuk masyarakat dan seterusnya bila kita sudah tidak ada di dunia ini lagi, jadi bagaimana kita membuat wasiat dan pusaka kita selepas kita meninggal dunia. Jadi ini semua adalah ilmu-ilmu yang penting yang mesti kita ada," kata Dr Shamsiah Abdul Karim, CEO Pergas Investment Holdings.

Para anggota panel di simposium itu turut menekankan pentingnya kewangan Islam berkembang untuk memastikan ia kekal relevan. 

Ini termasuk menyediakan perkhidmatan kewangan Islam yang boleh memberi manfaat bukan hanya kepada masyarakat Islam tetapi juga bukan Islam di dalam dan luar negara.

Sumber : BERITA Mediacorp/EM/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan