Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Permintaan BlueSG, firma sewa kereta lain bangkit semula pada Jun

Permintaan bagi kebanyakan firma sewa kereta di Singapura melonjak sejurus selepas sekatan ke atas pergerakan dan kegiatan dilonggarkan pada 2 Jun dan sekali lagi semasa fasa kedua pembukaan semula Singapura pada Jumaat lalu (19 Jun). 

Anggaran Waktu Membaca:
Permintaan BlueSG, firma sewa kereta lain bangkit semula pada Jun

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 22 Jun 2020 11:06AM Dikemas Kini : 22 Jun 2020 11:09AM

SINGAPURA: Permintaan bagi kebanyakan firma sewa kereta di Singapura melonjak sejurus selepas sekatan ke atas pergerakan dan kegiatan dilonggarkan pada 2 Jun dan sekali lagi semasa fasa kedua pembukaan semula Singapura pada Jumaat lalu (19 Jun).

Sekurang-kurangnya satu firma yang diwawancara Mediacorp menyatakan permintaan bahkan lebih tinggi daripada hari-hari sebelum penguatkuasaan langkah-langkah 'circuit breaker' pada awal April, bagi membendung COVID-19.

Tidak seperti khidmat kereta sewa di mana pemandu kereta sewa privet mengambil tempahan untuk menjemput dan menghantar penumpang, khidmat sewa kereta adalah apabila pemilik kereta privet menyewakan kenderaan mereka untuk dipandu oleh orang lain atau apabila sebuah syarikat mempunyai kereta yang boleh digunakan bagi sewa jangka pendek.

Syarikat-syarikat kongsi kereta yang diwawancara juga menyatakan mereka menjangkakan permintaan akan terus meningkat sedang lebih ramai orang keluar rumah dan menyambung semula kegiatan ekonomi.

Syarikat-syarikat itu yakin para penumpang lebih memilih untuk melakukan perjalanan menaiki kenderaan privet kerana mereka tidak akan berada dekat dengan orang lain seperti jika menaiki pengangkutan awam atau perlu berkongsi perjalanan dengan orang lain di dalam keterbatasan sebuah kereta.

Bagaimanapun, para penganalisis pengangkutan menyatakan pengangkutan awam tetap akan menjadi praktikal dan khidmat kereta sewa akan lebih rendah dari segi kos berbanding dengan khidmat sewa kereta. Mereka menambah khidmat sewa kereta juga mungkin menyebabkan kesesakan semasa waktu sibuk.

Mulai 7 April hingga 1 Jun apabila 'circuit breaker' berkuat kuasa, kebanyakan khidmat sewa kereta mengalami kerugian besar.

Pendapatan Whizzcar dan BlueSG jatuh 50 peratus manakala bagi Car Club, ia merosot lebih 60 peratus dan Tribecar pula, 30 peratus.

Firma-firma itu menyatakan kemerosotan pada permintaah adalah kerana lebih ramai orang duduk di rumah semasa tempoh berkenaan.

Firma sewa kereta, Smove, bagaimanapun, gulung tikar setelah ia memulakan proses pembubarannya pada lewat Mei.

BANGKIT SEMULA

Semasa fasa pertama melangkah keluar daripada tempoh pemutus rantaian jangkitan pada Jun, Tribecar menyatakan pendapatannya melonjak sebanyak 40 peratus "bakan lebih baik daripada sebelum 'circuit breaker'".

Whizzcar menyaksikan peningkatan 20 peratus pada hasil pendapatannya manakala BlueSG pula bangkit semula daripada kerugiannya dengan kenaikan sepadan 50 peratus pada jumlah sewa.

Car Club - syarikat paling teruk terjejas - menyatakan penggunaan kenderaannya pada hari-hari biasa secara harian "meningkat dengan ketara" tetapi ia tidak dapat memberikan perangkaan khusus.

Satu-satunya firma yang tidak mengalami kerugian semasa krisis COVID-19 ialah Drive Lah, yang menawarkan khidmat sewa kereta individu ke individu di mana pemilik menawarkan kenderaan peribadi untuk disewa.

Drive Lah menyatakan ia menyaksikan kenaikan 20 peratus pada pendapatannya bagi bulan Mei berbanding bulan sebelumnya semasa tempoh pemutus jangkitan. Bilangan pengguna aktif juga melonjak dari sekitar 5,000 pada April kepada 7,000 pada Jun.

Sesetengah firma sewa kereta juga menyatakan Jumaat lalu - apabila fasa kedua pembukaan semula Singapura bermula - mereka menyaksikan lonjakan pada permintaan pada hari itu sendiri.

Tribecar, misalnya, menyatakan pendapatannya naik sebanyak 30 peratus berbanding minggu-minggu sebelumnya dan lebih ramai orang memulakan perjalanan mereka lebih awal pada hari berkenaan.

PELUASAN, BERSIKAP OPTIMIS

Dalam bulan mendatang, Drive Lah merancang untuk meluaskan operasinya meskipun di tengah-tengah keadaan tidak menentu yang dibawa oleh pandemik COVID-19

Firma itu kini dalam ujian satu tahun dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang akan berakhir pada Oktober.

Skim sewa kereta privet LTA membenarkan kereta privet disewakan hanya pada hujung minggu dan hari cuti umum tetapi ia sudah memberikan kebenaran bagi Drive Lah untuk beroperasi pada hari-hari biasa juga semasa tempoh ujian.

Tribecar menyatakan mereka yang menggunakan khidmat sewa kereta bukan sahaja menggunakannya bagi tujuan santai memandangkan perniagaan sudah mula berinovasi.

Ia menambah peralihan untuk melakukan lebih banyak penghantaran makanan dan barangan serta penggunaan untuk tujuan sewa turut mewujudkan "permintaan besar".

Sementara itu, BlueSG pula menyatakan pandemik COVID-19 adalah satu "krisis yang belum pernah berlaku" yang kemungkinan besar meletakkan tekanan kewangan ke atas perniagaan, pertubuhan dan individu.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan