Skip to main content

Kewangan

Permintaan bagi bon hijau dijangka meningkat meskipun dihambat COVID-19

Bangunan SDE 4 di kampus Universiti Nasional Singapura (NUS) yang menonjol adalah bangunan tenaga sifar bersih pertama di Singapura yang direka untuk menggunakan sebanyak jumlah tenaga yang dijana.

Anggaran Waktu Membaca:
Permintaan bagi bon hijau dijangka meningkat meskipun dihambat COVID-19

Satu tunjuk perasaan perubahan iklim di Sydney, Australia pada 25 Sep 2020 (Gambar: Reuters/Jill Gralow)

Diterbitkan : 20 Oct 2020 01:25PM Dikemas Kini : 20 Oct 2020 01:31PM

SINGAPURA: Bangunan SDE 4 di kampus Universiti Nasional Singapura (NUS) yang menonjol adalah bangunan tenaga sifar bersih pertama di Singapura yang direka untuk menggunakan sebanyak jumlah tenaga yang dijana.

Bangunan itu adalah sebahagian daripada semakin banyak projek hijau NUS yang direka dengan ciri mesra alam dan cekap tenaga.

Untuk membiayai projek-projek sedemikian, NUS baru-baru ini mengeluarkan bon hijaunya yang pertama. Bon hijau itu adalah sejenis kaedah kewangan yang direka untuk memberi manfaat sekitaran atau berkaitan iklim. Permintaan bagi bon 10 tahun yang dikeluarkan pada Mei adalah kukuh, dengan NUS mengumpulkan S$300 juta menerusi pengeluarannya.

Namun, di pasaran lebih luas, kesan ekonomi akibat COVID-19 menyaksikan pengeluaran bon hijau yang lebih perlahan pada separuh pertama tahun ini, dengan penurunan 26 peratus kepada AS$91.6 bilion (S$124.4 bilion).

Meskipun separuh pertama tahun 2020 mungkin mencabar, Encik Cedric Rimaud, yang menguruskan program ASEAN di Climate Bonds Initiative, melahirkan keyakinan dalam pasaran tersebut.

Usaha sejagat untuk menangani perubahan iklim kekal meskipun dengan pandemik COVID-19, dan apabila ekonomi pulih, prospek pembiayaan hijau juga akan meningkat, kata Encik Willie Tanoto, seorang penganalisis di Fitch Ratings Singapore.

"Apabila ekonomi pulih, peminjam akan memerlukan kredit untuk membina semula keupayaan mereka, dalam banyak kes, saya fikir peminjam akan menyedari bahawa pembiayaan hijau sama sekali tidak kurang berdaya saing secara kewangan berbanding hutang konvensional. Oleh itu, saya tidak fikir prospek pembiayaan hijau sudah hilang dengan cara apa pun," katanya.

Di peringkat sejagat, pengeluaran bon hijau dan pinjaman meningkat lebih 50 peratus kepada AS$258 bilion pada 2019 berbanding tahun sebelumnya. Di ASEAN, jumlah yang dikeluarkan melonjak kepada hampir dua kali ganda iaitu sebanyak AS$8.1 bilion dalam tempoh yang sama.

Encik Rimaud berkata bahawa bon sedemikian terbukti sangat popular dalam kalangan pelabur, dengan syarikat-syarikat sering menerima permintaan berlebihan.

Pihak dalaman industri lain berkata bahawa trend pembiayaan mampan belum berkurangan meskipun
sewaktu pandemik.

Singapura menerajui pembiayaan hijau di rantau ini dengan membentuk 55 peratus daripada pengeluaran bon hijau ASEAN pada 2019, naik daripada 29 peratus pada 2018.

Encik Mike Ng, ketua kewangan berstruktur dan kewangan berdaya tahan di OCBC, berkata bahawa sistem kewangan berdaya tahan kini menjadi semakin lazim sedang syarikat-syarikat memberi lebih penekanan kepada perlindungan sekitaran.

Meskipun melabur dalam bon hijau mungkin tidak berisiko tinggi, pelabur mesti tetap berhati-hati, kata para penganalisis. Pelabur juga mesti berwaspada terhadap risiko 'green washing' iaitu melabel sesuatu usaha sebagai selaras dengan masa depan mesra alam meskipun hakikatnya tidak.

"Namun sejak Perjanjian Paris ditandatangani, piawaian telah muncul untuk menentukan dengan tepat yang mana satu adalah projek hijau, seperti piawaian bon iklim. 'Green washing' sudah berkurangan kerana piawaian yang tersedia adalah lebih ketat," tambahnya. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita