Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Permintaan aktiviti cuti sekolah naik 70% Jun ini, lebih ramai kakitangan diperlukan

Dengan kelonggaran yang diumumkan baru-baru ini, antara kumpulan yang meraih manfaat pada cuti sekolah Jun kali ini adalah para penyedia khidmat dan pengendali kegiatan-kegiatan luar.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dengan kelonggaran yang diumumkan baru-baru ini, antara kumpulan yang meraih manfaat pada cuti sekolah Jun kali ini adalah para penyedia khidmat dan pengendali kegiatan-kegiatan luar.

Berbanding tahun lalu, lebih banyak perniagaan melihat peningkatan dari segi pelanggan tahun ini, dengan ada yang menyaksikan peningkatan jumlah pelanggan dan permintaan sebanyak dua kali ganda.


(Gambar: Skyline Luge Sentosa/Facebook)

Ini termasuk Skyline Luge di Sentosa, yang merupakan antara kegiatan luar yang popular lebih-lebih lagi semasa tempoh cuti sekolah.

"Pada Jun 2021, sekatan-sekatan COVID-19 amat ketara dengan had dua orang bagi setiap kumpulan dan F&B yang ditutup. Akibatnya, kami menghadapi kekurangan pengunjung," menurut Pengurus Pertiketan dan Peruncitan Skyline Luge, Nur Amirra Ramlan.

"Lantaran itu, kami menjangka para pengunjung yang datang dua kali ganda berbanding tahun lalu," tambahnya lagi.

LEBIH RAMAI KAKITANGAN DIPERLUKAN TAMPUNG PERMINTAAN

Meskipun sudah ada kelonggaran pada sekatan perjalanan, pihak Skyline Luge tetap menjangkakan majoriti pengunjung yang akan diterima mereka pada cuti sekolah Jun ini adalah penduduk Singapura sendiri.

Mereka menjelaskan bahawa para pelancong hanya membentuk sebahagian kecil pelanggan yang diterima mereka.

Meskipun pertambahan pada jumlah pelanggan amat dialu-alukan, mereka juga kini berdepan dengan cabaran dari segi kakitangan.



"Cabaran yang kita hadapi buat masa sekarang ialah mungkin kekurangan kakitangan tetapi kami cuba untuk mengatasi itu dan bagi kami ia bukan menjadi satu masalah besar," kongsi Cik Amirra.

"Kami harus memastikan bahawa kapasiti kami di tempat ini tidak melebihi (kemampuan kami) jadi pengunjung yang datang tidak pun merasa mungkin mereka perlu beratur lama," menurut Cik Amirra berhubung langkah yang diambil untuk atasi cabaran yang dihadapi itu.

TEMPAHAN DAN JUMLAH PELANGGAN MENINGKAT HINGGA 70 PERATUS

Cabaran yang sama turut dihadapi penyedia khidmat dan pengendali kegiatan luar bagi sekolah-sekolah, korporat dan keluarga seperti The Singapore Scout Association.

"Cabaran kami adalah untuk membawa kembali pemudah acara kami daripada dua tahun yang lalu. Mereka sudahpun menukar pekerjaan kerana industri (ini) tidak dapat mengekalkan mereka," kongsi Penolong Pengurus The Singapore Scout Association, Ahmad Fikri Aziz.


(Gambar: Sands Leadership Development Centre)

Pada cuti sekolah Jun ini mereka menerima 70 peratus lebih banyak tempahan berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Cabaran lain ialah mengehadkan kapasiti walaupun kita mampu untuk menampung lebih banyak," ujar Encik Fikri.

Syarikat itu mengehadkan kapasiti kepada 500 peserta sahaja sebagai langkah keselamatan dan berdasarkan jumlah kakitangan yang ada.

Ini meskipun tapak perkhemahan itu mampu menampung lebih ramai peserta iaitu 1,500 sebelum COVID-19.

Bagi tangani lonjakan itu, syarikat yang menawarkan program-program perkhemahan dan pengembaraan luar untuk sekolah-sekolah, latihan kepimpinan dan juga ikatan keluarga ini perlu membuat beberapa persediaan.



"Kami perlu menyediakan kemudahan tapak perkhemahan kami untuk memastikan ia beroperasi sepenuhnya seperti memotong rumput dan mengemas kawasan aktiviti yang berbeza," kongsi Penolong Pengurus The Singapore Scout Association, Ahmad Fikri Aziz.

Ini selain menyelenggara beberapa kemudahan lain dan pengurusan tapak perkhemahan tidak mudah dengan kos penyelenggaraannya yang tinggi.

Namun begitu, syarikat itu tetap teruja menerima lebih ramai pelanggan untuk cuti sekolah Jun kali ini, dengan pelonggaran-pelonggaran yang dilaksanakan.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan