Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Perjanjian e-dagang ASEAN, rangkaian inovasi beri anjakan kepada perniagaan S'pura: S Iswaran

Perniagaan di Singapura kini boleh mendapat rangsangan apabila berkembang di Asia Tenggara melalui perjanjian ASEAN.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Mar 2018 09:46PM Dikemas Kini : 28 Mar 2018 11:42PM

SINGAPURA: Perniagaan di Singapura kini boleh mendapat rangsangan apabila berkembang di Asia Tenggara melalui perjanjian ASEAN mengenai e-dagang yang akan mengurangkan lagi hadangan bagi perniagaan dan mempertingkatkan lagi jaringan digital.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perusahaan) S Iswaran memberitahu para peserta industri semasa Forum Asia Business First 2018 anjuran Channel NewsAsia hari ini (28 Mac) bahawa rundingan antara Singapura dan negara-negara anggota ASEAN sedang berlangsung untuk memuktamadkan perjanjian menjelang hujung 2018.

Di bawah perjanjian itu, peraturan-peraturan akan diselaraskan untuk membantu syarikat-syarikat yang mendapati pelbagai peraturan e-dagang di negara-negara ASEAN mengelirukan.

Encik Iswaran berkata: "Ini akan menawarkan wadah bagi usahawan-usahawan baru, syarikat-syarikat pemula dan perushaan mikro, kecil dan sederhana, untuk memasarkan produk-produk dan perkhidmatan di rantau ini, sambil memudahkan mereka untuk mengirim dan menerima bayaran secara elektronik."

Semasa sesi dialog forum tersebut, Encik Iswaran berkata sedang gelombang perubahan teknologi sudah menimbulkan cabaran besar bagi perniagaan dalam bidang-bidang berlainan, lebih banyak lagi boleh dilakukan bagi membantu perniagaan ini mendakap teknologi dan "membuka potensi" mereka.

"Meskipun terdapat cabaran daripada proses pendigitalan, peluang dan potensi bagi perusahaan kecil dan sederhana khususnya amat besar. Bahkan, jika kita boleh menggabungkan dan mewujudkan nilai digital ASEAN, saya rasa ia akan benar-benar membuka peluang pertumbuhan baru."

Maka itu, Encik Iswaran berkata ASEAN harus mengelakkan daripada memandang ke dalam, sebaliknya harus kekal komited untuk mencapai integrasi ekonomi serantau, yang akan memanfaatkan perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi orang ramai.

Singapura juga akan memanfaatkan peranan sebagai pengerusi untuk menjayakan Jaringan Inovasi ASEAN (AIN), menurut Encik Iswaran.

Tujuannya untuk mengukuhkan rangkaian antara ekosistem inovasi ASEAN bagi "mencetuskan kerjasama dan huraian baru" untuk membolehkan syarikat-syarikat memberikan respons dengan lebih baik terhadap permintaan pengguna yang semakin canggih dan bertambah di rantau ini, kata Encik Iswaran.

Singapura turut meningkatkan pelibatannya dengan ASEAN melalui inisiatif dua hala seperti mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara rakan lama seperti Malaysia dan Indonesia.

Encik Iswaran turut berkata bahawa daya usaha ASEAN Single Window - yang bertujuan untuk membantu peniaga mengurangkan kos dengan mempercepat pelepasan kargo dan mengurangkan dokumen - sudah dimulakan di Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam awal tahun ini. 

Sumber : CNA/FA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan