Perjalanan udara terus pulih pada Nov 2021; IATA ramal Omicron jejas tempoh seterusnya
KUALA LUMPUR: Sektor perjalanan udara mencatat pemulihan berterusan pada November 2021, namun tempoh-tempoh berikutnya berkemungkinan terjejas akibat pelaksanaan sekatan pergerakan bagi membendung penularan varian Omicron.
Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), permintaan perjalanan antarabangsa juga diunjur meneruskan aliran peningkatan apabila lebih banyak pasaran dibuka semula.
Bagaimanapun, aliran trafik atau pergerakan penumpang di peringkat domestik adalah suram dengan sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan sekatan perjalanan di China.
“Jumlah permintaan bagi perjalanan udara pada November 2021 (diukur menerusi hasil penumpang bagi setiap kilometer atau RPK) merosot 47.0 peratus berbanding November 2019. Namun ini adalah kenaikan berbanding penguncupan sebanyak 48.9 peratus pada Oktober berbanding bulan sama pada tahun sebelum itu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu (12 Jan).
Menurut IATA, perjalanan udara domestik susut sedikit pada November selepas mencatatkan peningkatan selama dua bulan berturut-turut.
“RPK domestik berkurangan sebanyak 24.9 peratus berbanding tempoh sama pada 2019 manakala Oktober mencatat penurunan sebanyak 21.3 peratus.
“Keadaan ini terutamanya disebabkan oleh perkembangan di China yang menyaksikan aliran pergerakan penumpang merosot 50.9 peratus berbanding 2019 selepas beberapa bandarnya bertindak melaksanakan sekatan perjalanan lebih ketat bagi membendung penularan COVID-19 (sebelum Omicron),” katanya.
Menurut IATA lagi, permintaan penumpang antarabangsa pada November lalu juga berkurangan 60.5 peratus berbanding November 2019, namun perangkaan itu lebih baik jika dibandingkan dengan penurunan sebanyak 64.8 peratus pada Oktober.
Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata perkembangan sepanjang 22 bulan lalu menunjukkan wujudnya kaitan kecil atau tiada kaitan langsung antara langkah menguatkuasakan sekatan perjalanan dan mengelak penularan virus yang merentasi sempadan.
“Malah, langkah sekatan tersebut hanya membebankan dari segi kehidupan dan (menjejaskan) sumber pendapatan. Jika pengalaman itu dapat dijadikan pengajaran, maka kita juga berharap agar pemerintah-pemerintah dunia memberikan lebih banyak perhatian terhadap aspek itu ketika kita telah memasuki tahun baru ini,” katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.