Perdagangan SG-Afrika naik 50% kepada S$18.7 bilion pada 2024
SINGAPURA: Melabur di Afrika akan menjadi lebih selamat dan lebih mampan bagi syarikat-syarikat Singapura, dengan dua perjanjian baharu berkuat kuasa hari ini dengan Nigeria dan Ivory Coast.
Lima perjanjian lain pula akan menyaksikan kerjasama dalam bidang-bidang seperti khidmat kewangan dan kemampanan.
Perkembangan ini berlaku sedang dagangan dua hala antara Singapura dengan Afrika melonjak lebih 50 peratus dalam tempoh empat tahun, mencecah S$18.7 bilion pada 2024.
Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan merangkap Menteri Kemampanan & Sekitaran Grace Fu berkata, perjanjian pelaburan tersebut akan memberikan kepastian dan perlindungan lebih kukuh kepada para pelabur.
Beliau berkata demikian di Forum Perniagaan Afrika-Singapura, anjuran Enterprise Singapore.
Sekitar 400 pemimpin perniagaan dan pegawai pemerintah dari 40 negara menghadiri acara tersebut.
Kedua-dua pihak ingin bekerjasama lebih rapat dalam sektor seperti tenaga bersih, ekonomi digital dan pengilangan maju.
Para pemimpin menegaskan peri pentingnya pasaran terbuka,
terutamanya ketika sistem perdagangan global berasaskan peraturan berhadapan dengan tekanan yang semakin meningkat.
Cik Fu berkata: "Sebagai dua wilayah yang hampir serupa, muda dan berkembang pesat, Afrika dan Asia Tenggara boleh bekerjasama dan saling melengkapi kekuatannya. Sumber yang luas dan penduduk muda Afrika digabung dengan pengguna dan keupayaan pengeluaran Asia Tenggara yang terus meningkat mewujudkan potensi besar untuk bekerjasama.
"Bersama-sama, kita membentuk antara pasaran paling dinamik di dunia dengan penduduk hampir 2 bilion orang."
Presiden Republik Ghana, John Dramani Mahama menarik perhatian bahawa Singapura terletak di persimpangan kewangan global, fintek (teknologi kewangan), logistik dan inovasi hijau.
"Kecemerlangan anda dalam persiapan projek, pembiayaan campuran, pengurusan risiko, piawaian dan penyelesaian pertikaian merupakan perkara yang projek-projek di Afrika perlukan untuk beralih dari perancangan kepada pembiayaan untuk dibina," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.