Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Perdagangan bebas, berbilang pihak penting demi kemakmuran, kata Heng Swee Keat

Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada Rabu (23 Jan) menggesa negara-negara dunia supaya bekerjasama untuk memastikan agar semua negara dapat menikmati kemakmuran sedang mereka melangkah ke hadapan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Jan 2019 08:19AM Dikemas Kini : 24 Jan 2019 09:51PM

DAVOS: Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada Rabu (23 Jan) menggesa negara-negara dunia supaya bekerjasama untuk memastikan agar semua negara dapat menikmati kemakmuran sedang mereka melangkah ke hadapan.

Semasa berucap di sesi panel mengenai ramalan geopolitik sejagat yang diadakan sebagai sebahagian daripada Forum Ekonomi Dunia (WEF), Encik Heng berkata perdagangan berbilang pihak dan terbuka penting bagi pertumbuhan ekonomi global. Beliau menambah persefahaman dalam kalangan negara akan membantu negara-negara menjadi lebih makmur.

"Kita mesti bekerjasama untuk membantu satu sama lain menjadi lebih makmur, bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi supaya kita boleh mempertingkatkan mutu kehidupan rakyat. Ini supaya kita dapat menangani isu pekerjaan dan memanfaatkan teknologi dengan lebih berkesan, dengan perdagangan terbuka di peringkat global adalah sesuatu yang penting bagi kemakmuran.

"Pada pendapat saya, sistem perdagangan bebas berbilang pihak yang berdasarkan peraturan sudah membawa kemakmuran kepada seluruh dunia pada abad ke-20, terutamanya dalam tempoh 50 tahun yang lalu," katanya.

Encik Heng berkata beliau berharap Amerika Syarikat dan China akan dapat mencapai satu perjanjian kerana kesan-kesan negatif akibat pertikaian perdagangan itu sudah menjejas aliran perdagangan dan rantai bekalan.

Namun, ia juga membawa kesan positif terhadap rangkaian bekalan di Asia. Misalnya, syarikat-syarikat Amerika Syarikat yang mendapati bahawa bekalan barangan daripada China terlalu mahal kini mendapatkan bekalan yang lebih murah daripada negara-negara Asia seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Bagaimanapun semasa satu perbincangan panel mengenai Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China yang diadakan pada Selasa (22 Jan), Encik Heng berkata tidak semua pihak akan meraih manfaat daripada perdagangan bebas.

Meskipun perdagangan bebas sebelum ini dapat merangsang pertumbuhan, sesetengah pihak akan meraih manfaat daripadanya manakala ada juga yang akan mengalami kerugian, dengan sebilangan negara yang berpendapat ia keciciran akan cuba menentang sistem tersebut, katanya.

Semalam (23 Jan), beliau sekali lagi menekankan bahawa ekonomi-ekonomi perlu menjalankan penyusunan semula bagi meraih sepenuhnya manfaat perdagangan bebas.

Encik Heng turut menggesa masyarakat global supaya bekerjasama berhubung isu-isu seperti perubahan iklim, serta menangani pengganasan dalam pelbagai bentuk bagi kebaikan semua pihak. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan