Perbelanjaan ICT S'pura naik S$3.8 bilion; lebih banyak projek untuk SME
Singapura akan membelanjakan sekitar S$3.8 bilion untuk memperolehi teknologi infokom (ICT) pada tahun kewangan ini, naik hampir 10 peratus berbanding setahun lalu, dedah Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) pada Rabu (23 Jun).
SINGAPURA: Singapura akan membelanjakan sekitar S$3.8 bilion untuk memperolehi teknologi infokom (ICT) pada tahun kewangan ini, naik hampir 10 peratus berbanding setahun lalu, dedah Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) pada Rabu (23 Jun).
Perbelanjaan terunjur itu akan digunakan untuk mengubah khidmat dan prasarana digitial pemerintah.
Ia akan mempertingkatkan lagi momentum yang dijana melalui pelaburan-pelaburan terdahulu dan "mengukuhkan hasil pendigitalan yang dibawa oleh pandemik COVID-19," menurut agensi yang menerajui transformasi digital sektor awam itu dalam kenyataan medianya.
Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) juga akan meraih lebih banyak peluang. Syarikat-syarikat itu boleh menyertai hampir 83 peratus kontrak pemerolehan tersebut, tambah GovTech.
PECAHAN PERBELANJAAN
Sekitar 70 peratus atau S$2.7 bilion akan dibelanjakan untuk menampung 250 projek bagi "mengubah, menyepadu dan memperhalusi" khidmat-khidmat digital yang dimanfaatkan rakyat dan juga perniagaan-perniagaan dari pelbagai sektor.
Ini termasuk sistem pendaftaran perniagaan dan kawal selia negara yang baru di bawah Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA) yang akan menggunakan data dan teknologi digital untuk mempertingkatkan lagi pematuan peraturan kawal selia.
Daripada S$2.7 bilion itu, hampir separuh (44 peratus) akan disalurkan kepada untuk membangunkan khidmat pengkomputeran awan.
Dengan berbuat demikian, ia akan "meningkatkan ketangkasan dan daya inovasi" yang akan membolehkan perkhidmatan awam yang baru disampaikan kepada rakyat dan perniagaan dengan lebih pantas. Ia juga akan meningkatkan "daya bingkas dan kemampuan untuk terus berkembang maju, lantas membawa kepada prestasi lebih baik pada waktu-waktu permintaan tinggi," tambah agensi berkenaan.
Pemerintah sudahpun memindahkan hampir 600 sistemnya ke pengkomputeran awan, menurut kenyataan media itu. Ia "menepati sasaran" untuk mencapai matlamat memindahkan 70 peratus sistem teknologi maklumatnya ke khidmat pengkomputeran awan menjelang tahun kewangan 2023.
Lebih S$100 juta juga akan dilaburkan ke dalam Teknologi Stack Pemerintah Singapura (SG Tech Stack) iaitu sebuah platform pusat yang membolehkan agensi-agensi memanfaatkan khidmat dan peralatan digital - sepanjang dua tahun mendatang untuk menyokong pembangunan aplikasi moden.
"SG Tech Stack akan memperhalusi dan memudahkan proses pembangunan perisian lantas membantu agensi-agensi pemerintah mempercepatkan pelan-pelan pemodenan dan pendigitalan," menurut GovTech.
Sementara itu, sekitar 13 peratus daripada perbelanjaan terunjur bagi tahun kewangan ini akan digunakan untuk merangsang pelaksanaan dan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam sektor awam.
Ia dianggarkan bernilai lebih S$500 juta.
LEBIH BANYAK PROJEK UNTUK SME
Agensi itu turut mendedahkan bahawa lebih 80 peratus kontrak ICT akan ditawarkan dengan cara yang lebih mudah untuk SME menerusi "kaedah-kaedah pemerolehan yang lebih halus".
Sebagai contoh, "kontrak dinamik" sudahpun disertakan dalam tender-tender besar untuk membolehkan para pembekal dan syarat-syarat baru diperkenalkan sepanjang tempoh kontrak.
Agensi-agensi pemerintah juga akan menawarkan lebih banyak projek sistem kecil dan berdasarkan khidmat pengkomputeran awan yang membolehkan para pembekal dengan gred kewangan yang lebih rendah untuk membuat bidaan. Ini akan mengurangkan hambatan untuk SME turut serta.
Menyifatkan SME sebagai "nadi kehidupan Singapura" dan "tunggak utama" dalam visi Negara Bijak, Ketua Eksekutif GovTech Kok Ping Soon berkata adalah penting untuk memberikan SME lebih banyak peluang untuk memanfaatkan projek-projek pemerintah.
"GovTech akan terus berinovasi dan menyediakan khidmat-khidmat lancar dan mudah digunakan serta memperbaiki daya bingkas dan keselamatan platform-platform digital untuk rakyat, perniagaan dan para pegawai awam," jamin beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.