Skip to main content

Kewangan

Perang Rusia-Ukraine, varian Omicron terus gugat permintaan kargo udara

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Perang Rusia-Ukraine dan varian Omicron COVID-19 terus menjejaskan kargo udara, dengan permintaan global diukur dalam kargo tan kilometer (CTK) turun 5.2 peratus pada Mac 2022 berbanding bulan yang sama setahun yang lalu.  

Memetik data Mac 2022 bagi pasaran kargo udara global, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyatakan kapasiti kargo udara adalah 1.2 peratus lebih tinggi berbanding paras yang dicatatkan pada Mac 2021.

“Walapun ia adalah angka yang positif, namun ia merupakan kejatuhan ketara berbanding 11.2 peratus pada Februari 2022 berbanding setahun lalu, dengan Asia dan Eropah mencatatkan penurunan terbesar dari segi kapasiti,” menurutnya dalam satu kenyataan. 

Syarikat penerbangan Asia Pasifik mencatatkan penurunan jumlah kargo udara sebanyak 5.1 peratus pada Mac 2022 berbanding bulan yang sama pada 2021, manakala kapasiti yang tersedia di rantau itu susut 6.4 peratus berbanding Mac 2021, penurunan terbesar dalam kalangan semua rantau.

“Dasar sifar COVID-19 di tanah besar China dan Hong Kong memberi kesan kepada prestasi,” katanya.

Menyedari bahawa pasaran kargo udara bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi sejagat, Ketua Pengarah IATA Willie Walsh pada Mac 2022 berkata bahawa persekitaran dagangan menjadi lebih teruk. 

“Kombinasi perang di Ukraine dan penularan varian Omicron di Asia telah menyebabkan kenaikan kos tenaga, memburukkan gangguan rantaian bekalan dan membawa tekanan inflasi. 

“Justeru, berbanding setahun lalu, semakin sedikit barangan dihantar termasuk menerusi pengangkutan udara,” katanya.

Menurut Encik Walsh, keamanan di Ukraine dan peralihan dasar COVID-19 di China akan banyak membantu mengurangkan ketidaktentuan industri.

“Namun memandangkan kedua-duanya dijangka tidak akan berakhir dalam tempoh terdekat ini, kami menjangkakan peningkatan cabaran bagi kargo udara ketika pasaran penumpang mempercepatkan pemulihannya,” katanya. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita