Perang Amerika, Israel dan Iran: Syarikat penerbangan dijangka gugurkan laluan tidak menguntungkan sedang perang masuk hari ke-100
Willie Walsh, Ketua Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), menghadiri satu wawancara bersama Reuters mengenai kesan perang di Timur Tengah di Lapangan Terbang Cointrin, Geneva, Switzerland, pada 28 April 2026. (Gambar: REUTERS/Denis Balibouse)
This audio is generated by an AI tool.
Syarikat-syarikat penerbangan di seluruh dunia kini berdepan kos bahan api yang lebih tinggi menyusuli perang antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran, yang menjejaskan bekalan bahan api jet serta mengganggu laluan udara utama, sekali gus memaksa syarikat-syarikat penerbangan melencongkan laluan dan ini menyebabkan penerbangan lebih mahal.
Syarikat-syarikat penerbangan tambang jimat adalah antara yang paling terkesan kerana mereka tidak mempunyai sumber pendapatan berkeuntungan tinggi seperti kabin premium, penumpang berbelanja tinggi dan program kesetiaan berdasarkan kad kredit.
Tekanan itu sudah mula dirasai. Syarikat penerbangan tambang jimat Amerika, Spirit Airlines jatuh muflis bulan lalu, dan menurut Ketua Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Willie Walsh, ia bukan yang terakhir.
“Malangnya, saya fikir akan ada syarikat penerbangan lain yang mendapati harga bahan api yang tinggi ini sangat sukar untuk ditangani,” kata Encik Walsh kepada Reuters semasa sidang puncak tahunan IATA di Rio de Janeiro.
Syarikat penerbangan juga dijangka melindungi margin keuntungan dengan menghentikan laluan yang tidak menguntungkan, manakala tambang penerbangan yang melonjak sejak tercetusnya perang Iran tidak dijangka turun dalam masa terdekat, kata Encik Walsh.
Walaupun begitu, tekanan yang dihadapi tidak menandakan berakhirnya model syarikat penerbangan tambang jimat, yang terus berkembang maju di luar Amerika Syarikat.
Di Amerika Syarikat, tiga syarikat penerbangan utama iaitu United Airlines, Delta Air Lines dan American Airlines semakin menekan pesaing tambang jimat, kata Encik Walsh.
“Saya tidak melihat model tambang jimat ini rosak; malah sebaliknya,” katanya sambil merujuk kepada prestasi kukuh Ryanair di Eropah sebagai contoh.
Terdapat satu cadangan penggabungan besar yang menurut Encik Walsh tidak akan menjadi kenyataan, iaitu cadangan berani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) United Airlines, Scott Kirby, untuk membeli pesaing utamanya, American Airlines, dan mewujudkan gergasi penerbangan Amerika Syarikat.
Cadangan itu, yang timbul awal tahun ini, gagal direalisasikan walaupun Encik Kirby membangkitkannya kepada Presiden Donald Trump.
“Saya tidak fikir perkara itu akan berlaku. Saya rasa sekatan kawal selia akan menjadi sangat besar. Saya tidak pasti sama ada itu benar-benar usaha untuk menggalakkan penggabungan atau Scott sekadar cuba menarik perhatian media,” kata Encik Walsh.
CABARAN SYARIKAT PENERBANGAN TIMUR TENGAH
Perang terhadap Iran sudah mengubah aliran trafik udara melalui hab-hab utama Timur Tengah seperti Dubai, Doha dan Abu Dhabi, sekali gus mewujudkan cabaran besar kepada syarikat-syarikat penerbangan Teluk seperti Emirates, Qatar Airways dan Etihad.
Encik Walsh berkata beliau tidak percaya perang itu akan memudaratkan sepenuhnya kedudukan rantau Teluk sebagai sebuah hab penerbangan, sambil merujuk kepada geografinya yang strategik serta nilai syarikat penerbangan Teluk yang popular, yang menyumbang 14 peratus daripada kapasiti penerbangan global.
“Kapasiti itu tidak boleh digantikan oleh syarikat penerbangan dari rantau lain di dunia,” kata Encik Walsh.
“Apabila keadaan kembali stabil, saya menjangkakan syarikat penerbangan Teluk akan kembali memainkan peranan penting mereka dalam pasaran.”
Turut memburukkan keadaan ialah kelengahan penghantaran pesawat oleh Boeing dan Airbus, serta kelewatan enjin daripada GE Aerospace dan Pratt & Whitney, anak syarikat RTX, yang mengehadkan keupayaan syarikat penerbangan untuk menambah armada dan meningkatkan kecekapan operasi.
Encik Walsh berkata industri penerbangan semakin kecewa dengan kelengahan tersebut, khususnya apabila pengeluar enjin terus mencatat keuntungan kukuh, sedang syarikat penerbangan pula bergelut dengan cabaran semasa.
Beliau menganggarkan gangguan rantaian bekalan menyebabkan syarikat-syarikat penerbangan menanggung kerugian sekitar AS$11 bilion (S$14.1 bilion) tahun lalu.
“Kami kecewa kerana mereka tidak bergerak lebih pantas. Kami kecewa kerana mereka tidak berkongsi beban yang sedang ditanggung oleh industri penerbangan,” katanya.
Pengeluar pesawat dan enjin pula menyatakan sebahagian besar kelengahan itu berpunca daripada faktor di luar kawalan mereka, termasuk gangguan rantaian bekalan selepas pandemik dan pertikaian perdagangan antarabangsa.
Encik Walsh berkata persaingan akhirnya akan muncul dari China, di mana Comac sedang membangunkan pesawat untuk bersaing dengan Boeing dan Airbus.
Namun, syarikat itu masih berdepan cabaran pensijilan di Eropah dan Amerika Syarikat serta masih bergantung kepada enjin dan sistem avionik Barat.
“Mungkin dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, orang ramai tidak lagi hanya bercakap tentang Airbus dan Boeing. Mereka akan bercakap tentang Airbus, Boeing dan Comac,” katanya.
Ketika syarikat-syarikat penerbangan berdepan tekanan kewangan dan dasar iklim semakin kehilangan momentum di Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, pemimpin industri kini lebih berhati-hati terhadap sasaran mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Encik Walsh berkata IATA masih belum bersedia untuk menggugurkan sasaran tersebut.
“Saya sememangnya percaya bahawa mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050 kini lebih mencabar kerana kita belum mencapai kemajuan yang diharapkan dalam pembangunan bahan api mampan,” katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.