Skip to main content

Kewangan

Perang Amerika, Israel dan Iran: Saham Asia diniagakan secara berhati-hati; harga minyak meningkat

Pasaran saham Asia mengambil pendekatan berhati-hati pada Isnin (20 Jul) sedang perang yang semakin memuncak di Teluk mendorong kenaikan harga minyak dan mencetuskan kebimbangan berhubung inflasi, sementara laporan pendapatan syarikat teknologi utama minggu ini akan terus menguji keyakinan para pelabur terhadap sektor kecerdasan buatan (AI).

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Saham Asia diniagakan secara berhati-hati; harga minyak meningkat

Seorang lelaki berjalan di hadapan skrin elektronik yang memaparkan papan sebut harga saham Nikkei Jepun di sebuah dewan persidangan di Tokyo, Jepun, pada 27 April 2026. (Gambar: REUTERS/Issei Kato)

Diterbitkan : 20 Jul 2026 09:38AM
  • Pasaran saham Asia berhati-hati akibat ketegangan di Teluk yang menyebabkan harga minyak melonjak dan kebimbangan inflasi meningkat.
  • Serangan tentera Amerika Syarikat dan Iran mendorong kenaikan harga minyak, mempengaruhi jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Fed dan ECB.
  • Laporan pendapatan syarikat teknologi utama seperti Alphabet, Intel dan Tesla menjadi tumpuan, dengan sektor AI dan semikonduktor diuji selepas penurunan indeks berkaitan.
  • Penganalisis menjangkakan pertumbuhan pendapatan teknologi yang kukuh, namun pasaran saham dan mata wang utama kekal tidak menentu akibat faktor geopolitik dan ekonomi.
Dijana oleh AI
SYDNEY: Pasaran saham Asia mengambil pendekatan berhati-hati pada Isnin (20 Jul) sedang perang yang semakin memuncak di Teluk mendorong kenaikan harga minyak dan mencetuskan kebimbangan berhubung inflasi, sementara laporan pendapatan syarikat teknologi utama minggu ini akan terus menguji keyakinan para pelabur terhadap sektor kecerdasan buatan (AI).

Harga minyak mentah Brent meningkat tiga peratus, melepasi AS$90 (S$116.20) setong buat kali pertama dalam tempoh lebih sebulan, sedang tentera Amerika Syarikat melancarkan serangan terhadap Iran bagi hari kesembilan berturut-turut, manakala Tehran pula menyerang sasaran-sasaran di seluruh rantau tersebut.

Kenaikan kos bahan api menghidupkan semula kebimbangan terhadap inflasi meskipun data harga pengguna Amerika pada minggu lalu adalah lebih rendah daripada jangkaan. Perkara tersebut mendorong pasaran niaga hadapan untuk mempertimbangkan kemungkinan Rizab Persekutuan Amerika (Fed) menaikkan kadar faedah sebanyak 29 mata asas menjelang akhir tahun.

"Ramalan kami adalah Fed akan bergerak secara lebih beransur-ansur ke arah kenaikan kadar pada 2027, tetapi imbangan risiko kini semakin menjurus kepada kenaikan kadar yang lebih awal daripada jangkaan," kata Ketua Pakar Ekonomi JPMorgan Bruce Kasman, sambil merujuk kepada pendekatan dasar Fed yang kebelakangan ini lebih cenderung kepada langkah mengetatkan dasar.

Pasaran niaga hadapan menunjukkan kemungkinan 60 peratus kadar faedah dinaikkan seawal September, mendorong hasil bon Perbendaharaan Amerika dengan jangka masa selama 30 tahun kembali melepasi paras psikologi 5.0 peratus. Paras itu lazimnya menarik dana daripada pasaran saham ke pelaburan berpendapatan tetap, selain meningkatkan jangkaan terhadap pendapatan korporat pada masa depan.

Perubahan itu berlaku sedang para pelabur mula mempersoalkan penilaian saham cip dan AI yang terlalu tinggi. Indeks Semikonduktor Philadelphia susut 10 peratus minggu lalu, menjadikannya 20 peratus lebih rendah berbanding paras rekod yang dicatat pada Jun.

Pasaran saham menerima satu lagi tamparan pada Jumaat apabila syarikat AI China, Moonshot, mengumumkan model baharu dengan sumber terbuka, Kimi K3, yang menurutnya menawarkan prestasi yang hampir menyamai model tercanggih Fable milik syarikat gergasi Amerika, Anthropic.

Perkembangan itu meningkatkan lagi tumpuan terhadap laporan pendapatan syarikat-syarikat minggu ini, termasuk Alphabet, Intel dan Tesla.

JANGKAAN TINGGI BAGI PENDAPATAN

Penganalisis BofA Savita Subramanian kekal optimis terhadap prospek pendapatan, dengan menjangkakan keputusan lima peratus lebih tinggi daripada anggaran konsensus, atau pertumbuhan sebanyak 28 peratus.

Sektor teknologi dijangka menyumbang lebih separuh daripada pertumbuhan itu, dengan sektor semikonduktor diramalkan meningkat sekitar 130 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ramalan tersebut membantu niaga hadapan S&P 500 naik 0.2 peratus dalam dagangan awal, manakala niaga hadapan Nasdaq naik 0.4 peratus. Di Eropah, niaga hadapan EUROSTOXX 50 dan DAX masing-masing meningkat 0.2 peratus, manakala niaga hadapan FTSE tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Indeks Nikkei Jepun ditutup sempena cuti selepas merosot 6.4 peratus minggu lalu akibat penjualan besar-besaran yang diterajui saham teknologi. Indeks MSCI bagi saham Asia-Pasifik di luar Jepun pula susut 0.3 peratus.

Pasaran Korea Selatan yang banyak dipengaruhi saham cip susut 0.6 peratus, selepas menjunam hampir sembilan peratus minggu lalu dalam dagangan yang tidak menentu dengan para pelabur runcit terpaksa keluar daripada kedudukan yang memberikan mereka kelebihan.

Lonjakan terbaharu harga minyak dijangka menjadi cabaran bagi Bank Pusat Eropah (ECB), yang akan bermesyuarat pada Khamis dan dijangka mengekalkan kadar faedah pada 2.25 peratus selepas menaikkannya pada Jun.

Pasaran hampir sepenuhnya mengambil kira kemungkinan kenaikan pada mesyuarat ECB pada September, dengan kadar dijangka mencecah 2.75 peratus pada awal tahun depan.

Euro tidak berubah pada AS$1.1433 selepas didagangkan antara AS$1.1377 hingga AS$1.1482 selama lebih seminggu.

Dolar Amerika pula stabil pada kadar 162.41 yen, sedikit di bawah paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun baru-baru ini pada 162.84 yen, sedang pihak berkuasa Jepun memberi amaran mengenai kemungkinan campur tangan sekiranya yen melemah dengan pantas.

Dalam pasaran komoditi, kenaikan hasil bon memberi tekanan kepada emas yang tidak menawarkan faedah, dengan harganya susut 0.6 peratus kepada AS$3,993 (S$5,155.35) seauns.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita