Perang Amerika, Israel dan Iran: Pasaran dunia mula rasai tekanan perang Amerika-Iran
Daripada kejatuhan mata wang Asia hinggalah penutupan sebuah syarikat penerbangan tambang jimat Amerika Syarikat, konflik berpanjangan di Timur Tengah mula meninggalkan kesan di seluruh dunia dan menguji daya tahan pasaran kewangan.
Seorang pekerja syarikat dagangan pertukaran asing Gaitame.com di sebuah bilik urus niaga di Tokyo, Jepun pada 1 Mei 2026. (Gambar fail: REUTERS/Kim Kyung-Hoon)
This audio is generated by an AI tool.
Berikut adalah beberapa tekanan yang semakin dirasakan:
ASIA MERASAKAN TEKANAN
Mata wang di Asia mengalami antara kejatuhan paling ketara dalam pasaran pertukaran asing sejak Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran pada Februari. Sekitar 80 peratus perdagangan minyak melalui laut yang merentasi Selat Hormuz lazimnya menuju ke Asia, menjadikan rantau itu paling terdedah kepada sebarang gangguan.
Indonesia menyaksikan nilai rupiahnya menjunam ke paras rekod terendah pada Selasa (12 Mei), manakala mata wang negara pengimport bahan api lain di Asia termasuk India dan Filipina turut mencecah paras terendah dalam sejarah. Bank-bank pusat sudah mencampur tangan dalam pasaran mata wang selama beberapa minggu, sama ada secara langsung atau menerusi tindakan bank milik negara, dan kini sedang meneliti langkah tambahan yang boleh diambil. Mata wang di Korea Selatan, Thailand dan Malaysia turut mengalami tekanan.
“Bank-bank pusat akan berasa keberatan untuk mengurangkan rizab mereka,” kata ketua strategi pertukaran asing dan kadar faedah Asia Barclays, Mitul Kotecha. “Oleh itu, kita mungkin akan melihat lebih banyak langkah kreatif untuk menyokong mata wang masing-masing.”
JEPUN TURUT TERJEJAS
Perang itu menambah tekanan baharu terhadap yen, yang sudah pun lemah akibat kadar faedah rendah Jepun dan kebimbangan terhadap rancangan pertumbuhan yang bergantung kepada pinjaman oleh Perdana Menteri Sanae Takaichi.
Jepun mengimport sekitar 95 peratus daripada minyaknya dari Timur Tengah, menjadikan mata wang negara itu sangat sensitif terhadap kenaikan kos tenaga. Pihak berkuasa sudah mencampur tangan sedang yen menghampiri paras 160 bagi setiap dolar Amerika, demi mengekang spekulasi.
“Dengan harga minyak melonjak lebih tinggi, para pedagang secara semula jadi menyerang yen kerana ia merupakan mata wang dengan pulangan yang rendah, dan pada masa sama asas ekonominya paling terjejas akibat harga minyak yang tinggi,” kata pakar strategi global pertukaran asing dan kadar faedah Macquarie Group, Thierry Wizman.
Para penganalisis berkata campur tangan itu tidak mungkin dapat membalikkan kejatuhan yen melainkan perang reda dan kadar faedah dinaikkan dalam masa terdekat.
ANCAMAN KEJUTAN HARGA MAKANAN
Ketidaktentuan harga makanan baru sahaja reda menyusuli kejutan pada 2022 yang tercetus akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Kini, satu lagi kejutan baharu dijangka berlaku sedang perang di Timur Tengah menjejaskan bekalan baja dan meningkatkan kos tenaga - tekanan yang mungkin bertambah buruk lagi dengan kembalinya fenomena cuaca El Nino.
Indeks perkapalan Baltic kini berada pada paras tertinggi sejak 2023.
Ekonomi yang sedang pesat membangun, di mana makanan mempunyai pengaruh lebih besar dalam menentukan inflasi, dijangka mengalami kesan paling teruk.
“Harga makanan yang tinggi merupakan satu masalah di seluruh dunia, tetapi khususnya bagi ekonomi-ekonomi di mana makanan membentuk sebahagian besar daripada faktor inflasi atau bekalan makanan bergantung kepada import,” kata ahli ekonomi global HSBC James Pomeroy.
TEKANAN HARGA BAHAN API
Para pengguna di seluruh dunia juga turut merasakan tekanan - dan antara kesan paling awal yang dapat diperhatikan adalah pada harga bahan api. Pasaran khususnya memantau harga petrol di Amerika Syarikat, yang berpotensi mendorong Encik Trump untuk mencapai satu perjanjian menjelang pilihan raya pertengahan penggal November.
Harga purata petrol di Amerika Syarikat meningkat daripada sekitar AS$3 (S$3.81) kepada lebih AS$4.50 (S$5.72) segelen, menurut kumpulan advokasi pemandu AAA.
“Jika jumlah itu terus meningkat dan menghampiri AS$5 (S$6.36), akan terjadi banyak ketidakpuasan dalam negara, dan itu mungkin memaksa Trump untuk mengubah pendiriannya sekali lagi terhadap perangnya dengan Iran,” kata ketua strategi pasaran Zurich Insurance Group, Guy Miller.
Kejutan tenaga itu akan meningkatkan harga barangan keperluan rumah yang diperbuat daripada minyak atau gas asli, daripada ubat gigi hinggalah pencuci pakaian. Para pedagang kini sedang memantau peningkatan jangkaan inflasi yang boleh mendorong bank-bank pusat menaikkan kadar faedah.
Tinjauan Jangkaan Pengguna Bank Pusat Eropah menunjukkan jangkaan inflasi bagi tempoh setahun akan datang melonjak kepada empat peratus pada Mac berbanding 2.5 peratus pada April.
SEKTOR PENERBANGAN
Sektor penerbangan kini berdepan ujian paling besar sejak krisis COVID-19 pada 2020 yang meletakkan dunia di bawah sekatan pergerakan. Harga bahan api jet meningkat hampir 84 peratus sejak konflik bermula dan kekurangan bekalan dijangka berlaku jika perang tidak berakhir dalam masa terdekat.
Syarikat penerbangan tambang jimat Spirit Airlines menghentikan operasinya awal bulan ini sambil menyifatkan kenaikan harga bahan api sebagai punca kegagalannya.
Sesetengah syarikat penerbangan berkata risiko gangguan bekalan semakin berkurangan. Namun begitu, saham syarikat penerbangan masih mencatatkan prestasi lemah. Saham syarikat penerbangan Eropah merosot sekitar 14 peratus tahun ini, sedang pasaran keseluruhan meningkat sebanyak tiga peratus.
JANGKAAN PASARAN BON
Pasaran bon utama kembali stabil selepas jualan besar-besaran pada peringkat awal perang memaksa para pedagang untuk menilai semula jangkaan kadar faedah. Namun, para penganalisis memberi amaran bahawa tekanan kini muncul semula dan boleh menjadi lebih buruk.
Di Britain, risiko politik memburukkan lagi tekanan ke atas pasaran bon kerajaan tempatan.
Satu lagi pasaran penting ialah pasaran bon Perbendaharaan Amerika Syarikat, di mana hasil bon 10 tahun kini berada sekitar 4.40 peratus, iaitu kira-kira 40 mata asas lebih tinggi berbanding paras sebelum perang. Kenaikan hasil bon Amerika Syarikat juga berisiko memberi tekanan kepada pasaran yang pesat membangun yang menetapkan kadar pinjaman berdasarkan bon Perbendaharaan Amerika Syarikat.
“Terdapat zon bahaya bagi pasaran ekuiti dan pasaran kredit jika hasil bon Perbendaharaan 10 tahun melepasi paras 4.5 peratus,” kata Encik Miller dari Zurich. “Keadaan itu lazimnya akan mencetuskan gangguan.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.