Skip to main content

Kewangan

Perang Amerika, Israel dan Iran: Laba tahunan SIA merosot 57%; kesan lonjakan kos bahan api dijangka lebih dirasai pada 2027

Singapore Airlines (SIA) pada Khamis (14 Mei) melaporkan laba bersih sepanjang tahun merosot 57.4 peratus, sambil memberi amaran bahawa kenaikan kos bahan api masih belum dirasai sepenuhnya dan dijangka memberi kesan lebih besar pada tahun mendatang.

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 14 May 2026 10:11PM Dikemas Kini : 24 May 2026 06:37PM
SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) pada Khamis (14 Mei) melaporkan laba bersih sepanjang tahun merosot 57.4 peratus, sambil memberi amaran bahawa kenaikan kos bahan api masih belum dirasai sepenuhnya dan dijangka memberi kesan lebih besar pada tahun mendatang.

Penutupan Selat Hormuz menyusuli perang Amerika Syarikat-Israel dengan Iran yang tercetus pada akhir Februari menyebabkan harga bahan api jet melonjak jauh melebihi kenaikan harga minyak mentah, sekali gus menambah tekanan kos terhadap industri penerbangan global.

SIA menyatakan hanya sebahagian daripada kesan terhadap perbelanjaan direkodkan pada Mac 2026, memandangkan bil bahan api kumpulan itu lazimnya ditentukan berdasarkan sistem harga tertangguh.

"Walaupun SIA dan Scoot telah menaikkan tambang penerbangan di seluruh rangkaiannya, pelarasan tersebut tidak dapat menampung sepenuhnya kenaikan harga bahan api jet, yang merupakan komponen perbelanjaan terbesar kumpulan tersebut," menurut syarikat itu.

Kenyataan itu menambah bahawa kesan penuh lonjakan tersebut dijangka dirasai pada tahun hadapan.

"Bergantung pada tempoh dan perkembangan situasi di Timur Tengah, ia mungkin membawa implikasi lebih meluas terhadap rantaian bekalan dan keadaan makroekonomi yang mempengaruhi corak permintaan," menurutnya lagi.

Laba bersih syarikat sebanyak S$1.18 bilion melebihi anggaran konsensus Visible Alpha pada S$1.08 bilion. Tahun lalu, syarikat itu mencatat keuntungan sekali sahaja sebanyak S$1.1 bilion hasil gabungan penuh usaha sama Vistara ke dalam Air India.

SIA menyatakan bahawa ia kekal "komited terhadap pelaburan 25.1 peratus dalam Kumpulan Air India, yang merupakan komponen teras strategi berbilang hab jangka panjangnya".

Bagaimanapun, syarikat itu menyatakan Air India "berdepan cabaran seperti kekangan rantaian bekalan yang menjejas keseluruhan industri, sekatan ruang udara, kekangan operasi bagi pasaran utama Timur Tengah dan harga bahan api jet yang tinggi".

"Namun begitu, ia terus mencatat kemajuan dalam program pembaharuan armada dan pengubahsuaian pesawat, inisiatif meningkatkan pengalaman pelanggan secara menyeluruh, serta memperbaiki prestasi operasinya," menurut SIA.

SIA dan syarikat penerbangan tambang jimatnya, Scoot, secara berasingan membawa rekod 42.4 juta penumpang pada tahun kewangan 2025/26, meningkat 7.7 peratus berbanding tahun sebelumnya di tengah-tengah permintaan perjalanan udara yang "kukuh".

Kumpulan itu mencatat keuntungan operasi sebanyak S$2.375 bilion bagi tahun kewangan tersebut, meningkat S$665 juta atau 39 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Setakat 31 Mac, armada operasi kumpulan itu merangkumi 218 pesawat penumpang dan pesawat kargo, dengan SIA mengendalikan 148 pesawat penumpang dan tujuh pesawat kargo, manakala Scoot mengendalikan 63 pesawat penumpang.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita