Skip to main content

Kewangan

Perang Amerika, Israel dan Iran: IMF beri amaran Asia lebih terdedah kepada kejutan tenaga akibat perang

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: IMF beri amaran Asia lebih terdedah kepada kejutan tenaga akibat perang

Pemandangan dari udara menunjukkan daerah perniagaan Ortigas di Pasig, Filipina pada 10 Jun 2022. Gambar dipetik menggunakan dron. (Gambar: REUTERS/Adrian Portugal)

Diterbitkan : 16 Apr 2026 10:45PM Dikemas Kini : 16 Apr 2026 10:46PM
WASHINGTON: Asia lebih terdedah kepada kejutan tenaga berbanding rantau-rantau lain disebabkan oleh pergantungannya yang tinggi terhadap bahan api dari Timur Tengah, kata seorang eksekutif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang turut memberi amaran tentang kesan buruk terhadap pertumbuhan ekonomi jika perang yang berpanjangan itu mencetuskan kekurangan bekalan.

Ekonomi rantau ini memasuki tahun 2026 dengan asas yang kukuh disebabkan oleh tarif Amerika Syarikat yang lebih rendah daripada jangkaan, kitaran teknologi yang kukuh yang telah meningkatkan eksport dan keadaan kewangan yang longgar, kata Krishna Srinivasan, Pengarah Jabatan Asia Pasifik IMF.

Kesan sedemikian agak mengimbangi kesan kejutan tenaga yang disebabkan oleh konflik Timur Tengah, mengekalkan ramalan pertumbuhan IMF bagi Asia yang secara amnya tidak berubah dari Januari, katanya kepada Reuters dalam satu temu bual pada Rabu (16 Apr).

Tetapi ekonomi Asia yang sangat intensif tenaga dan pergantungannya yang besar terhadap bahan api dari Timur Tengah akan memastikan rantau ini terdedah kepada kesan perang, katanya lagi.

Penggunaan minyak dan gas berjumlah kira-kira 4 peratus daripada hasil dalam negeri kasar (GDP) Asia, hampir dua kali ganda daripada Eropah, menurut IMF. Dengan kapasiti pengeluarannya yang terhad, import bersih minyak dan gas berjumlah kira-kira 2.5 peratus daripada GDP untuk Asia, katanya lagi.

"Ini adalah satu kejutan, yang akan menjejaskan Asia dengan lebih teruk lagi berbanding rantau-rantau lain," kata Srinivasan. "Apa yang akan kita lihat ialah inflasi yang lebih tinggi, pertumbuhan yang lebih lesu dan imbangan akaun semasa yang lebih lemah."

Di bawah senario "rujukan" yang lebih baik dalam Tinjauan Ekonomi Dunia, IMF mengunjurkan pertumbuhan Asia akan menjadi sederhana daripada 5 peratus pada 2025 kepada 4.4 peratus pada 2026 dan 4.2 peratus pada 2027.

Tetapi dalam senario "buruk" atau "teruk", pertumbuhan di Asia boleh merosot sebanyak 1 hingga 2 peratusan mata secara kumulatif sehingga 2027, katanya.

"Ini adalah satu kejutan yang mempunyai kesan harga dan kuantiti," kata Srinivasan.

Perang itu, jika berpanjangan, boleh mencetuskan bukan sahaja kenaikan harga tetapi juga kekurangan bahan kimia dan gas berkaitan minyak yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai jentera dan makanan, tambahnya.

"Jika anda mengalami kejutan harga dan kekurangan, itu boleh menyebabkan ketidaktentuan yang lebih besar, dan oleh itu kesan pertumbuhan akan menjadi lebih ketara, terutamanya jika kejutan itu bukan bersifat sementara."

IMF menjangkakan inflasi di Asia akan meningkat daripada 1.4 peratus pada 2025 kepada 2.6 peratus tahun ini, sebelum menurun kepada 2.4 peratus pada tahun 2027.

Bank-bank pusat Asia harus meneliti kejutan itu sehingga terdapat lebih banyak kejelasan tentang kesannya terhadap ekonomi, tetapi "berhati-hati dan tangkas, supaya jika anda melihat jangkaan inflasi semakin tidak tertumpu, anda boleh mula mengetatkannya," kata Srinivasan.

Dengan penampan fiskal yang terhad selepas perbelanjaan besar untuk memerangi pandemik, para penggubal dasar Asia mesti memastikan sebarang sokongan fiskal tepat pada masanya dan disasarkan kepada golongan yang paling memerlukannya, katanya lagi.
 
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita