Skip to main content

Kewangan

Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga minyak susut sedang rundingan Iran-Oman bangkit harapan perjanjian damai

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga minyak susut sedang rundingan Iran-Oman bangkit harapan perjanjian damai

Pam minyak di medan minyak Airankol di wilayah Atyrau, Kazakhstan, pada 20 April 2026. (Gambar: Reuters/Pavel Mikheyev)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 10:12AM
TOKYO: Harga minyak susut pada Khamis (6 Ogos) sedang pelabur menilai sama ada kemajuan dalam rundingan antara Iran dengan Oman boleh membuka jalan kepada perjanjian damai Amerika Syarikat bersama Iran bagi menamatkan perang yang berlarutan selama lima bulan serta membuka semula Selat Hormuz.

Niaga hadapan minyak mentah Brent susut 37 sen Amerika atau 0.5 peratus kepada AS$79.08 (S$101.40) setong.

Niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) Amerika pula turun 53 sen Amerika atau 0.7 peratus kepada AS$74.69 (S$95.80) setong.

Ahli ekonomi Nomura Securities Yuki Takashima berkata tekanan penjualan muncul menyusuli laporan bahawa rundingan antara Iran dengan Oman menunjukkan kemajuan.

Menurutnya, harga minyak kini kembali ke paras yang dilihat ketika Amerika dan Iran menandatangani perjanjian damai sementara pada 17 Jun lalu.

Para pelabur kini memberi perhatian kepada sama ada kedua-dua pihak dapat mencapai perjanjian muktamad.

CADANGAN PERJANJIAN SELAT HORMUZ

Satu cadangan perjanjian antara Iran dengan Oman bagi membantu menamatkan ketegangan Amerika dan Iran dipercayai akan memberi Tehran kawalan ke atas kapal yang memasuki Teluk menerusi Selat Hormuz.

Seorang sumber kanan Iran dan dua pegawai serantau berkata kepada Reuters pada Rabu (5 Ogos) bahawa langkah tersebut merupakan antara konsesi terbesar kepada Iran setakat ini.

Amerika belum memberi respons terhadap cadangan tersebut.

Presiden Donald Trump sebelum ini berkata perjanjian bagi membuka semula Selat Hormuz hampir dicapai.

Namun, beberapa pegawai Amerika berulang kali menegaskan Washington tidak akan menerima sebarang aturan yang membolehkan Iran mengawal laluan menerusi Selat Hormuz, antara laluan perdagangan tenaga terpenting dunia.

Iran pula memberi amaran bahawa sebarang serangan baharu Amerika terhadap wilayahnya akan mencetuskan tindak balas terhadap kemudahan tenaga penting di seluruh rantau Teluk.

SERANGAN HOUTHI TURUT JADI PERHATIAN

Sementara itu, kumpulan Houthi di Yaman menyatakan pada Rabu (5 Ogos) bahawa pihaknya melancarkan serangan peluru berpandu terhadap sebuah kapal tangki minyak Arab Saudi dekat Yanbu di Laut Merah.

Kumpulan tersebut turut mendakwa melancarkan satu lagi serangan terhadap sebuah kapal tangki minyak Saudi di Teluk Aden.

Arab Saudi belum mengesahkan kedua-dua kejadian tersebut.

Encik Takashima berkata kebimbangan bahawa serangan Houthi boleh menjejas perkapalan di Laut Merah mengehadkan keyakinan bahawa gangguan perkapalan di Timur Tengah akan berakhir dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan berasingan, stok minyak mentah Amerika meningkat sebanyak 2.5 juta tong kepada 407 juta tong bagi minggu yang berakhir pada 31 Julai.

Ia berbanding jangkaan penganalisis bagi penyusutan sebanyak 1.5 juta tong.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita