Skip to main content

Kewangan

Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga minyak susut sedang pelabur nilai ketidaktentuan serangan Amerika-Iran

Harga minyak susut sedikit pada Khamis (3 Sep) sedang para pelabur menilai ketidaktentuan menyusuli serangan ketenteraan baharu antara Amerika Syarikat dengan Iran yang berisiko menjejas bekalan dari Timur Tengah.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga minyak susut sedang pelabur nilai ketidaktentuan serangan Amerika-Iran

Loji penapisan minyak dan kilang kimia di kawasan perindustrian yang dikenali sebagai Chemical Valley di Sarnia, Ontario, Kanada, pada 2 September 2026. (Gambar: REUTERS/Carlos Osorio)

Diterbitkan : 03 Sep 2026 10:21AM
BEIJING: Harga minyak susut sedikit pada Khamis (3 Sep) sedang para pelabur menilai ketidaktentuan menyusuli serangan ketenteraan baharu antara Amerika Syarikat dengan Iran yang berisiko menjejas bekalan dari Timur Tengah.

Niaga hadapan minyak mentah Brent susut 43 sen (S$0.55), atau 0.45 peratus, kepada AS$95.20 (S$120.95) setong pada 0029 GMT, manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika turun 24 sen, atau 0.26 peratus, kepada AS$90.77 (S$115.32) setong.

Serangan terbaharu itu merupakan pertempuran paling sengit antara Amerika dengan Iran sejak Julai, dengan perang antara kedua-dua negara kini memasuki bulan ketujuh.

Harga Brent dan WTI turun naik dalam sesi dagangan sebelumnya, dengan kenaikan mencecah AS$2 (S$2.54) setong dan penurunan sehingga AS$1 (S$1.27) setong. Paras tertinggi yang dicatatkan kedua-dua penanda aras tersebut dalam sesi itu merupakan yang tertinggi sejak 24 Julai.

Harga minyak kembali susut selepas terdapat tanda-tanda awal bahawa ketegangan terbaharu itu mula reda, dengan tiada serangan balas disahkan berlaku sejak sekitar tengah hari Rabu, waktu Sydney, kata penganalisis IG Tony Sycamore dalam satu nota.

Presiden Amerika Donald Trump berkata pada Rabu bahawa kempen ketenteraan baharu Amerika terhadap Iran tidak akan berterusan "terlalu lama" dan tentera Amerika sudah menyasarkan sistem radar serta peluru berpandu Iran.

"Kami memusnahkan semua peralatan baharu yang mereka cuba bina di sepanjang Selat Hormuz - ada bagi tujuan pertahanan, ada untuk serangan ... Serangan malam tadi sangat hebat, dan kami bersedia untuk melancarkan satu lagi serangan pada bila-bila masa yang kami mahu," kata Encik Trump.

"Jika keadaan terus reda, dan itu satu persoalan besar, tidak lama lagi penghantaran minyak yang keluar dari Selat tersebut menerusi kapal-kapal yang menyembunyikan identitinya serta pemindahan dari kapal ke kapal akan kembali ke paras yang kita lihat pada penghujung minggu lalu," kata Encik Sycamore.

Empat kapal komoditi melalui Selat Hormuz, lebih rendah berbanding purata 10 hari pada sekitar 13 kapal, menurut data awal perkapalan Kpler pada Rabu.

Selain itu, Iran turut menambah lebih banyak kapal ke dalam senarai kapal yang dianggap tidak mematuhi peraturannya dan boleh dikenakan denda, dirampas atau ditahan jika ia cuba melalui selat tersebut.

Amerika menyatakan pada Selasa bahawa 17 juta tong minyak melalui Selat Hormuz pada Isnin, sambil menyifatkannya sebagai jumlah minyak mentah terbesar yang melalui laluan perairan tersebut sejak perang Amerika-Israel terhadap Iran bermula.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita