Skip to main content

Kewangan

Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga minyak naik, pasaran saham merosot di tengah harapan rapuh bagi perdamaian Timur Tengah

Harga minyak meningkat pada Rabu (3 Jun), menghampiri paras AS$100 (S$128.26) setong manakala pasaran saham merosot sedang serangan lanjut antara Amerika Syarikat dengan Iran menjejaskan harapan bagi satu perjanjian damai dalam masa terdekat.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga minyak naik, pasaran saham merosot di tengah harapan rapuh bagi perdamaian Timur Tengah

Para pedagang menjalankan urus niaga di lantai dagangan Bursa Saham New York (NYSE) di New York City, Amerika Syarikat, pada 3 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Brendan McDermid)

Diterbitkan : 04 Jun 2026 10:05AM
NEW YORK: Harga minyak meningkat pada Rabu (3 Jun), menghampiri paras AS$100 (S$128.26) setong manakala pasaran saham merosot sedang serangan lanjut antara Amerika Syarikat dengan Iran menjejaskan harapan bagi satu perjanjian damai dalam masa terdekat.

Indeks-indeks utama Wall Street menjunam dan kebanyakan pasaran saham Eropah ditutup rendah, menyusuli prestasi bercampur-campur di Asia.

Dolar Amerika mengukuh sedang harga minyak melonjak susuli ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah meskipun gencatan senjata dikatakan sudah dipersetujui.

Perkembangan tersebut berlaku selepas satu serangan dron ke atas terminal penumpang di lapangan terbang antarabangsa Kuwait mengorbankan seorang individu dan mencederakan puluhan yang lain.

"Harga minyak terus meningkat selepas serangan semalaman ke atas Kuwait, dan sekali lagi ia memberi kesan kepada kebanyakan pasaran kecuali sektor teknologi," kata Ketua Penganalisis Pasaran IG, Chris Beauchamp.

Beliau berkata keadaan itu kini beralih daripada gencatan senjata yang rapuh kepada sesuatu yang lebih menyerupai konflik berintensiti rendah.

Pada Rabu, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata "tiada kemajuan ketara" dicapai dalam rundingan untuk menamatkan perang.

"Ini bermakna isu penting berkaitan bekalan minyak masih belum diselesaikan, dan masa terus berjalan menuju ke arah senario paling buruk bagi inventori minyak dan ekonomi global," tambah Encik Beauchamp.

Perang itu telah menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia, dengan kejutan yang lebih besar berkemungkinan berlaku sekiranya tiada gencatan senjata yang berkesan dicapai sebelum 2027, menurut amaran Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada Rabu.

Pertumbuhan ekonomi global diunjurkan merosot kepada 2.8 peratus tahun ini walaupun sekiranya eksport tenaga dari Teluk kembali ke paras sebelum konflik pada suku ketiga, menurut kumpulan yang terdiri daripada 38 negara perindustrian itu dalam laporan suku tahunannya.

"Semakin lama gangguan ini berlarutan, semakin besar kos ekonomi dan sosial yang perlu ditanggung," kata Ketua Ahli Ekonomi OECD Stefano Scarpetta.

Beliau berkata banyak negara berisiko terjerumus ke dalam kemelesetan, manakala penurunan perbelanjaan pelaburan – "termasuk dalam kecerdasan buatan (AI) yang menggunakan tenaga secara intensif" – berkemungkinan meningkatkan kadar pengangguran.

Secara umumnya, keyakinan terhadap AI membantu mengekalkan sentimen pelabur dan mendorong indeks-indeks Wall Street mencatat rekod tertinggi berulang kali dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Selasa lalu tidak terkecuali apabila pengeluar cip Amerika, Marvell Technology, melonjak 32 peratus selepas Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang menyifatkannya sebagai syarikat seterusnya yang berpotensi mencapai nilai AS$1 trilion (S$1,28 trilion).

Namun, pada Rabu, sebahagian pelabur mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan.

Tom Cahill dari Ventura Wealth Management berkata ia adalah sesuatu yang normal bagi pasaran, yang mencatat prestasi baik sejak sebulan lalu, untuk "mengukuh atau bergerak mendatar buat seketika bagi menyesuaikan diri dengan keuntungan yang telah dicapai".

Bagaimanapun, beliau menambah, kebimbangan geopolitik mungkin turut menekan pasaran saham.

TEKANAN INFLASI

Dua data ekonomi membantu mengelakkan sentimen pelabur daripada menjadi lebih negatif: aktiviti dalam sektor perkhidmatan Amerika berkembang pada Mei dan pekerjaan sektor swasta meningkat lebih tinggi daripada jangkaan.

Data itu diterbitkan menjelang laporan pekerjaan Amerika yang bakal dikeluarkan pada Jumaat, yang mungkin menentukan sama ada Rizab Persekutuan (Fed) akan mengekalkan kadar faedah penanda arasnya atau menaikkan kos pinjaman bagi membendung inflasi.

Di Asia, nilai yen Jepun mengukuh seketika di tengah-tengah spekulasi bahawa pihak berkuasa Jepun mungkin campur tangan untuk menyokong mata wang tersebut menyusuli campur tangan yang dilakukan bulan lalu, sebelum kembali susut berbanding dolar Amerika.

Indeks saham Tokyo ditutup dua peratus lebih tinggi, dibantu lonjakan harga saham pengeluar cip Tokyo Electron.

Pasaran Taipei pula meningkat dua peratus hasil kenaikan kukuh saham Taiwan Semiconductor Manufacturing Company.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita