Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga minyak naik lebih AS$1 setong susuli serangan baharu Amerika ke atas Iran
Harga dagangan minyak meningkat lebih AS$1 (S$1.29) setong selepas pasaran ditutup pada Rabu (9 Jun).
Seorang pekerja industri minyak dan gas menjalankan tugas di pelantar penggerudian di medan minyak Zhetybay, wilayah Mangystau, Kazakhstan, pada 13 November 2023. (Gambar fail: REUTERS/Turar Kazangapov)
Perkembangan tersebut berlaku selepas tentera Amerika Syarikat melancarkan satu lagi siri serangan terhadap Iran.
Kedua-dua penanda aras minyak mentah ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh lebih dua minggu selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengancam untuk melancarkan serangan baharu ke atas Iran seawal Rabu malam.
Encik Trump juga berkata perjanjian sementara untuk menamatkan perang dengan Iran sudah "berakhir", namun menolak kemungkinan perang berskala penuh akan tercetus.
Niaga hadapan minyak mentah Brent kali terakhir didagangkan pada paras AS$79.28 (S$102.52) setong, selepas meningkat lebih lima peratus kepada AS$78.02 (S$100.89) pada penghujung dagangan pada Rabu. Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat pula didagangkan pada AS$74.76 (S$96.67) setong, meningkat daripada paras penutup dagangan sebanyak AS$73.52 (S$95.07).
Markas Pusat (CENTCOM) Tentera Amerika Syarikat pada Rabu mengumumkan bahawa ia melancarkan satu lagi siri serangan terhadap Iran bagi memastikan Selat Hormuz kekal dibuka kepada trafik perkapalan.
Seorang pegawai Amerika Syarikat memberitahu Reuters bahawa serangan berterusan terhadap Iran dijangka lebih besar berbanding serangan yang dilancarkan pada Selasa.
Media Iran pula melaporkan, beberapa letupan berlaku di Bandar Abbas, Abu Musa, Bushehr serta beberapa kawasan lain di negara itu.
Serangan terbaharu itu menyusuli ketegangan yang kembali memuncak selepas Iran menyerang beberapa buah kapal di Selat Hormuz.
Menyusuli serangan tersebut, Amerika Syarikat menarik balik kelonggaran sekatan terhadap penjualan minyak Iran yang dipersetujui dalam perjanjian sementara antara kedua-dua negara bulan lalu.
Iran pada Rabu pula menyatakan bahawa ia telah menyerang tapak tentera Amerika Syarikat di Bahrain dan Kuwait, sekali gus mencetuskan serangan balas oleh Washington.
Sebelum perang Iran tercetus, kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz. Penguasaan Tehran terhadap laluan perairan itu menjadi antara pengaruh utamanya dalam perang yang bermula berikutan serangan udara Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari.
Pihak berkuasa maritim turut meningkatkan tahap ancaman terhadap kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz kepada tahap "teruk" selepas dua kapal tangki diserang pada Selasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.