Skip to main content

Kewangan

Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga emas terus naik selepas Trump gantung serangan terhadap Iran selama dua minggu

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Harga emas terus naik selepas Trump gantung serangan terhadap Iran selama dua minggu

(Gambar: iStock)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 08 Apr 2026 10:14AM
Harga emas terus mencatat kenaikan pada Rabu (8 Apr) sedang pasaran menilai semula risiko jangka pendek selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau bersetuju untuk menggantung pengeboman dan serangan ke atas Iran selama dua minggu, sekali gus melegakan kebimbangan berlakunya inflasi yang didorong oleh kenaikan harga tenaga.

Harga emas semasa naik 2.3 peratus kepada US$4,811.66 (S$6,137.75) setiap auns pada pukul 11.44 malam waktu GMT selepas naik 1.2 peratus pada Selasa, manakala niaga hadapan emas Amerika Syarikat untuk Jun naik 3.3 peratus kepada US$4,840.20.

Encik Trump berkata Washington bersetuju menggantung serangan selama dua minggu dan telah menerima usulan 10 perkara daripada Iran, yang digambarkannya sebagai asas yang sesuai untuk digunakan dalam rundingan mereka.

Komen beliau menyusuli amaran awal bahawa Teheran mesti membuka semula Selat Hormuz atau berisiko menghadapi tindak balas daripada Washington.

“Kenaikan ini adalah reaksi segera dan masih belum jelas sama ada Iran akan mematuhi desakan itu. Bagi emas, harga purata bergerak 200 hari pada kadar US$4,930 dan kemudian US$5,000 akan menjadi halangan utama. Begitu juga, US$80-US$81 (S$102.05-S$103.35) adalah paras penting untuk perak,” kata pedagang logam bebas, Tai Wong.

Pakistan, yang telah menjadi pengantara antara Washington dengan Teheran, telah meminta lanjutan dua minggu untuk memberi ruang bagi meneruskan usaha diplomasi.

Majlis Keselamatan Tertinggi Iran berkata rundingan dengan Amerika Syarikat akan bermula pada Jumaat di Islamabad, selepas ia menghantar usulannya melalui Pakistan, walaupun ia menambah bahawa perbincangan itu tidak menandakan tamatnya perang.

Kenaikan harga bekalan tenaga boleh mendorong inflasi dan menyukarkan keputusan bank pusat mengenai pemotongan kadar faedah. Walaupun emas sering dilihat sebagai perlindungan terhadap inflasi dan aset selamat semasa tempoh tidak menentu, daya tarikannya selalunya lebih lemah dalam persekitaran kadar faedah tinggi kerana ia tidak memberikan pulangan.

Menurut penyelidikan oleh Bank Rizab Federal Dallas, gangguan jangka panjang terhadap perdagangan minyak global boleh mendorong kadar inflasi Amerika Syarikat melebihi 4 peratus menjelang akhir tahun, dengan peningkatan lebih tinggi mungkin berlaku pada jangka pendek.

Harga emas, yang kukuh pada permulaan tahun ini, susut lebih daripada 8 peratus sejak perang Iran bermula pada 28 Feb.

Pasaran kini menunggu penerbitan butiran mesyuarat pihak Rizab Federal bagi bulan Mac, yang dijadualkan pada Rabu.

Dalam kalangan logam lain, harga perak semasa meningkat 4.3 peratus kepada US$76.08 (S$97) setiap auns, platinum naik 2.4 peratus kepada US$2,004.95 (S$2,556.71) dan palladium bertambah 2.1 peratus kepada US$1,500 (S$1,912.80).
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita