Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Perancis lancar siasatan terhadap BNP Paribas atas dakwaan cabul hak asasi manusia di Sudan

Para pendakwa raya Paris sudah melancarkan siasatan terhadap bank Perancis, BNP Paribas, atas tuduhan bersubahat dalam jenayah terhadap kemanusiaan di Sudan, kata seorang peguam dan Persekutuan Antarabangsa Bagi Hak Asasi Manusia (FIDH) yang berpangkalan di Paris pada Khamis (24 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Perancis lancar siasatan terhadap BNP Paribas atas dakwaan cabul hak asasi manusia di Sudan

Logo di luar sebuah cawangan bank BNP Paribas di Paris, Perancis (Gambar: REUTERS/Benoit Tessier)

Diterbitkan : 25 Sep 2020 10:09AM Dikemas Kini : 25 Sep 2020 10:20AM

PARIS: Para pendakwa raya Paris sudah melancarkan siasatan terhadap bank Perancis, BNP Paribas, atas tuduhan bersubahat dalam jenayah terhadap kemanusiaan di Sudan, kata seorang peguam dan Persekutuan Antarabangsa Bagi Hak Asasi Manusia (FIDH) yang berpangkalan di Paris pada Khamis (24 Sep).

Siasatan itu dilancarkan setelah sembilan plaintif dari Sudan, yang mendakwa bahawa mereka adalah mangsa pencabulan hak asasi oleh bekas presiden Sudan yang digulingkan, Omar al-Bashir, memfailkan aduan tahun lalu terhadap BNP Paribas.

Para plaintif menuduh bank Perancis itu terlibat dalam jenayah terhadap kemanusiaan kerana menyediakan khidmat kewangan kepada pemerintah Sudan.

Mereka mendakwa bahawa dalam satu kes pelanggaran sekatan Amerika Syarikat, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menyifatkan BNP Paribas sebagai bank pusat Sudan dari 1997 hingga 2007 kerana ia memberikan pemerintah Sudan akses kepada pasaran kewangan antarabangsa dan kaedah untuk membayar kakitangan, tentera dan pasukan keselamatan.

Konflik di wilayah Darfur di Sudan tercetus pada 2003 di mana pasukan tentera Sudan melancarkan kempen keganasan yang mengorbankan lebih 300,000 orang.

Sejak itu Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague menyifatkan kempen tersebut sebagai jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai.

Bashir didapati bersalah oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 2009 dan 2010 atas jenayah terhadap kemanusiaan.

"Inilah yang kami nanti-nantikan. Kami mengemukakan aduan ini setahun lalu terhadap bank itu kerana ia terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan," kata Clemence Bectarte, seorang peguam bagi pihak plaintif.

FIDH menyatakan di laman Twitter bahawa ia membantu pihak plaintif untuk mengemukakan aduan tersebut.

BNP Paribas menyatakan pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai prosiding itu dan maka itu tidak dapat memberikan komen.

Pejabat pendakwa Paris bagaimanapun belum lagi memberikan respons kepada permintaan tersebut.

Pada awal 2017, para penyiasat Perancis melancarkan siasatan menyeluruh terhadap tuduhan terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai di Rwanda pada 1994. Dalam kes itu, BNP Paribas dituduh oleh pertubuhan-pertubuhan bukan pemerintah sebagai rakan subahat kerana memindahkan wang tunai AS$1.3 juta (S$1.79 juta) kepada seorang penjual senjata.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan