Skip to main content

Kewangan

Penutupan kilang Jaguar Land Rover di Britain masuk minggu keempat angkara serangan siber

Anggaran Waktu Membaca:
Penutupan kilang Jaguar Land Rover di Britain masuk minggu keempat angkara serangan siber

Seorang kakitangan di bahagian pengeluaran kilang Jaguar Land Rover di Solihull, Britain pada 15 Disember 2022. (Gambar fail: REUTERS/Phil Noble)

LONDON: Pengeluar kereta terbesar Britain, Jaguar Land Rover (JLR) melanjutkan penutupan kilangnya sehingga 1 Oktober menyusuli serangan siber pada awal September yang melumpuhkan operasinya dan menyebabkan pembekal kecil bergelut akibat insiden tersebut.

Pembuat kereta mewah itu, yang dimiliki oleh Tata Motors dari India, mendedahkan dalam kenyataannya pada Selasa (23 Sep) bahawa ia sedang menyediakan rancangan untuk menyambung semula pengeluaran walaupun tempoh penutupan dilanjutkan.

“Kami membuat keputusan ini untuk memberikan kepastian bagi minggu akan datang, sedang kami melakar garis masa untuk menyambung semula operasi secara berperingkat dan meneruskan siasatan kami,” kata JLR ketika mengumumkan tarikh baharu 1 Oktober.

Tiga kilang JLR di Britain menghasilkan sekitar 1,000 kereta sehari, dan kumpulan itu dikatakan rugi puluhan juta paun, dengan ramai daripada 33,000 kakitangannya diarahkan untuk duduk di rumah.

Terdapat kebimbangan mengenai kesan penutupan itu ke atas rantaian bekalan JLR di Britain, yang melibatkan banyak syarikat kecil dan menyokong 104,000 pekerjaan di seluruh negara.

Kesatuan sekerja Unite memberi amaran tentang kehilangan pekerjaan dan menyatakan bahawa sokongan kerajaan diperlukan, memandangkan tempoh penutupannya agak panjang.

Kerajaan Britain menyatakan pada Jumaat bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan JLR bagi memahami kesan terhadap rantaian bekalannya.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita