Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Penumpang Grab diberi pilihan antara kenderaan elektrik atau hibrid mulai 14 Jul

Mulai 14 Julai, para penumpang yang menempah Grab dari bahagian tengah Singapura boleh memilih untuk menaiki kenderaan hibrid atau elektrik. Ia adalah sebahagian daripada usaha syarikat kereta sewa itu untuk menjadi lebih berdaya mampan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Penumpang Grab diberi pilihan antara kenderaan elektrik atau hibrid mulai 14 Jul

Gambar fail. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 08 Jul 2021 09:34AM Dikemas Kini : 08 Jul 2021 09:36AM

SINGAPURA: Mulai 14 Julai, para penumpang yang menempah Grab dari bahagian tengah Singapura boleh memilih untuk menaiki kenderaan hibrid atau elektrik. Ia adalah sebahagian daripada usaha syarikat kereta sewa itu untuk menjadi lebih berdaya mampan.

Bermula dari tarikh tersebut, Grab juga menawarkan pilihan untuk membayar tambahan S$0.10 bagi menyumbang kepada projek-projek mesra alam demi membantu mengurangkan jejak karbonnya.

JustGrab Green akan menggunakan sejumlah kenderaan yang memenuhi piawai pelepasan A2 Skim Menangani Pencemaran Asap Kenderaan (VES) seperti Hyundai Kona Electric atau Toyota Prius.

Dengan ini, pelepasan karbon boleh dikurangkan sekitar 55 peratus berbanding kenderaan yang menggunakan petrol konvensional, menurut Grab dalam kenyataan medianya pada Rabu (7 Jul).

Firma berpangkalan di Singapura - yang pada awal tahun ini mengumumkan rancangannya untuk menjual sahamnya dengan penilaian AS$40 bilion (S$53 bilion) - menyatakan perkhidmatan uji kaji itu akan beroperasi di bawah struktur harga sama dengan JustGrab, yang mengerahkan teksi atau kereta sewa privet dalam jarak terdekat dengan penumpang pada harga tetap.

Pilihan JustGrab Green akan disediakan terlebih dahulu kepada mereka yang membuat tempahan dari kawasan-kawasan seperti
Downtown Core, Marina South, Marina East, Bukit Merah, Outram, Queenstown, Bukit Timah, River Valley, Tanglin, Orchard, Newton, Novena, Toa Payoh, Bishan, Rochor, Kallang, Marine Parade dan Geylang sebelum ia diperluaskan secara bertahap-tahap ke tempat lain.

Bagi mengurangkan jejak karbon Grab, penumpang juga boleh membayar tambahan S$0.10 pada tambang mereka. Bayaran tambahan itu akan disalurkan kepada projek-projek bagi mengurangkan pelepasan karbon dan menampung penjanaan tenaga suria di Singapura serta rantau ini.

Program Hijau itu, yang juga akan dilancarkan pada 14 Julai, akan menyaksikan Grab memadankan sumbangan S$0.10 oleh penumpang sehingga tiga juta perjalanan.

Antara projek yang disokong oleh inisiatif tersebut adalah kolaborasi antara Grab dengan Sembcorp Industries untuk memasang panel-panel suria di atas bumbung institusi-institusi masyarakat di Singapura seperti kelab masyarakat dan rumah kebajikan.

Program itu juga akan menyokong kerjasama antara Grab dengan gergasi minyak Belanda, Shell, untuk membeli kredit karbon daripada Projek Katingan Mentaya di Indonesia, yang memulihara hutan semula jadi dan habitat tanah gambut.

Syarikat gergasi kereta sewa privet itu juga akan mengembangkan jumlah kenderaan hibrid dan elektrik menerusi cabang sewanya, GrabRentals. Ia juga menyasarkan untuk menyediakan kesemua kenderaannya dengan "tenaga lebih bersih" menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada matlamat kemampanan pengangkutan.

Syarikat itu menarik perhatian bahawa ia sejajar dengan rancangan di bawah Pelan Singapura Menghijau 2030 untuk berhenti menggunakan kenderaan yang menggunakan enjin pembakaran dalam secara bertahap-tahap menjelang 2040 dan menggantikannya dengan alternatif tenaga yang lebih bersih.

Ketua kumpulan pemasaran dan kemampanan Grab, Cheryl Koh, berkata bulan lalu, firma itu melaburkan lebih AS$200 juta (S$269 juta) untuk meningkatkan jumlah kenderaan elektrik dan hibrid pada kereta sewanya.

Bulan lalu juga, Grab mengumumkan rancangan untuk menjadi rakan kongsi bersama pembuat kereta Hyundai bagi mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik di Asia Tenggara.

Pada Mei, pesaing firma itu, Gojek - yang beroperasi di Indonesia, Vietnam, Thailand dan Singapura - menyatakan ia menyasarkan untuk menjadikan setiap kenderaan di platformnya sebuah kenderaan elektrik menjelang 2030.

Sementara itu, pengendali teksi SMRT menyatakan pada April bahawa seluruh teksinya - kini sebanyak 1,797 teksi - akan meliputi kenderaan elektrik dalam tempoh lima tahun akan datang.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan