Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Penjualan rumah privet baru merosot 36% pada Oktober

Penjualan rumah privet baru di Singapura merosot 36 peratus pada bulan Oktober berbanding tempoh yang sama tahun lalu, kerana hampir tiada rumah privet baru dilancarkan pada bulan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Penjualan rumah privet baru merosot 36% pada Oktober

Bakal pembeli di bilik pameran kondominium. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 15 Nov 2018 05:04PM Dikemas Kini : 15 Nov 2018 05:06PM

SINGAPURA: Penjualan rumah privet baru di Singapura merosot 36 peratus pada bulan Oktober berbanding tempoh yang sama tahun lalu, kerana hampir tiada rumah privet baru dilancarkan pada bulan itu.

Tidak termasuk kondominium eksekutif (EC), para pemaju hartanah menjual 487 unit bulan lalu berbanding 761 unit pada Oktober 2017, menurut data yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Khamis (15 Nov).

Berbanding bulan sebelumnya pula, penjualan merosot sekitar 48 peratus pada bulan Oktober berbanding 932 unit yang dijual pada September, menurut perangkaan URA.

Sejumlah 202 rumah baru dilancarkan oleh para pemaju pada bulan lalu, menjunam 83 peratus berbanding 1,169 unit yang dilancarkan pada September.

Meskipun urus niaga pada bulan lalu adalah rendah, para pembeli di Singapura masih menunjukkan minat yang kukuh, kata para pengamat.

"Kemerosotan itu adalah dalam jangkaan kami kerana tiada pelancaran besar pada bulan tersebut," kata Eugene Lim dari ERA Realty.

"Meskipun jumlah unit yang dilancarkan rendah, permintaan para pembeli masih kukuh. Jumlah unit yang dijual adalah 3.7 kali ganda berbanding jumlah unit baru yang dilancarkan," tambah beliau.

Ketua Penyelidikan dan Runding Cara Orang Tee, Christine Sun, berkata permintaan bagi rumah-rumah baru semasa pelancaran yang sedia ada semakin meningkat sejak tiga bulan lalu setelah langkah-langkah meredakan pasaran hartanah diperkenalkan.

Para penganalisis juga mengatakan bahawa perangkaan penjualan bagi bulan November dijangka meningkat, sejajar dengan pelancaran beberapa projek. 

"Dengan pelbagai pelancaran baru pada November seperti Parc Esta, Whistler Grand, Belgravia Green dan Ken Ridge Hill Residences, kami meramalkan bahawa urus niaga mungkin mencecah 1,000 unit bagi November 2018," kata CEO PropNex Realty, Ismail Gafoor.

510 unit baru, termasuk EC, dijual pada Oktober berbanding 972 unit yang dijual pada tempoh yang sama tahun lalu.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan