Peniaga ramal 'durian runtuh' lebih besar; permintaan dijangka terus meningkat
Sedang musim durian 'semakin rancak' di Singapura sekarang, para penjual raja buah itu menjangkakan peningkatan pada permintaan lebih-lebih lagi sewaktu tempoh kemuncaknya, yang mereka menganggarkan bakal bermula dalam masa seminggu dua lagi.
(Gambar: Monica Kotwani)
SINGAPURA: Sedang musim durian 'semakin rancak' di Singapura sekarang, para penjual raja buah itu menjangkakan peningkatan pada permintaan lebih-lebih lagi sewaktu tempoh kemuncaknya, yang mereka menganggarkan bakal bermula dalam masa seminggu dua lagi.
Walaupun penjualan rata-ratanya sama seperti tahun-tahun lalu bagi kebanyakan peniaga, para penjual memberitahu Mediacorp mereka mengharapkan harga lebih rendah semasa tempoh kemuncak untuk menarik lebih ramai pelanggan ke kedai mereka.
Encik Louis Lee, seorang rakan kongsi di Louis Durian, berkata penjualan musim ini "boleh tahan" kerana kos durian "masih agak tinggi". Beliau mengaitkan harga "tinggi" itu dengan para pembekal Malaysia yang sedang mengintai peluang untuk mengeksport durian ke China, di mana selera terhadap buah tersebut kian meningkat saban tahun.
Buat masa ini, Encik Lee menjual sekitar 1,500 kilogram durian sehari tetapi beliau berharap untuk meningkatkannya kepada 2,500 kilogram semasa tempoh kemuncak. Durian paling laris dijualnya adalah Musang King atau Mao Shan Wang dari Pahang.
Beliau menjual Musang King pada harga S$21 bagi setiap kilogram tetapi berharap harga itu akan jatuh kepada S$17 atau S$18 sekilogram pada minggu depan.
Pemilik bersama Royal Durian, Jeremy Chew, juga mendapati penjualan tahun ini kebanyakan tidak berubah. Namun, beliau menjangkakan jumlahnya akan meningkat pada musim ini memandangkan syarikat itu menerima lebih banyak pendedahan menerusi buah mulut.
Syarikat tempahan online Durian 26 bagaimanapun menyaksikan perniagaan meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu.
“Mungkin kerana ramai orang tidak dapat ke luar negara, mereka hanya duduk di Singapura," kata pemilik, Alvin Teo.
Beliau mendapati harga serta mutu durian juga lebih baik tahun ini dan ini mungkin menarik lebih ramai pelanggan.
Durian 26 kini menjual Musang King pada harga S$22 bagi setiap kilogram dengan durian gred B yang lebih kecil pula berharga antara S$15 hingga S$18 setiap kilogram.
Beliau menambah harga "pastinya" akan merosot ke S$18 hingga S$20 setiap kilogram bagi Musang King dan ini barangkali memikat lebih ramai pelanggan.
Pengarah Urusan Durian Wholesale Asia, Phua Cheng Jing, berkata pemborong menyaksikan permintaan serupa tahun ini berbanding tahun lalu.
“Permintaan sentiasa agak tinggi di Singapura," katanya.
Durian Wholesale Asia buat masa ini menjual kira-kira 3,000 kilogram durian sehari dan Encik Phua menjangkakan bilangan itu akan melonjak kepada 4,500 kilogram dalam tempoh dua minggu. Syarikat itu menjual duriannya kepada peniaga pada harga sekitar S$17 hingga S$18 setiap kilogram.
BEKALAN DURIAN
Encik Lee dan Encik Chew berkata para pembekal Malaysia mengutamakan penjualan ke China, bermakna, bekalan dalam negara adalah terhad.
“Sentiasa ada masalah bekalan sejak China membuka pasaran bagi durian," ujar Encik Chew sambil menambah bahawa sedari itu, harga Musang King belum jatuh.
“Sesiapa yang menjual kepada Singapura, pada dasarnya mereka tidak mempunyai peluang untuk mengeksport ke China."
Bagaimanapun, beliau menarik perhatian bahawa bahagian pasaran Singapura terlalu kecil sehingga harga durian tidak terjejas dengan ketara.
Encik Chew bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan para penjual lain bahawa harga durian akan jatuh semasa tempoh kemuncaknya.
Beliau berkata naik turun harga durian biasanya adalah antara RM1 (S$0.32) to RM3 (S$0.97) setiap kilogram setiap hari. Namun, ini tidak akan menjejas banyak harga durian di Singapura.
Para penjual lain pula mendapati bekalan durian tahun ini adalah lebih baik.
Encik Teo memberitahu Mediacorp bahawa bekalan meningkat bagi Durian 26 sebanyak lebih 20 peratus selepas menyaksikan penuaian yang baik. Sementara itu, Encik Phua pula berkata permintaan dari China merosot "sedikit" tahun in berbanding pada 2020 dan ini bererti lebih banyak durian diperuntukkan untuk Singapura.
Encik Phua menambah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Malaysia tidak banyak menjejas bekalan duriannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.