Skip to main content

Kewangan

Peniaga perak SG berebut-rebut dapatkan stok di tengah harga melambung tinggi

Perak dalam bentuk fizikal semakin sukar ditemui di Singapura, memandangkan lonjakan harga global baru-baru ini telah menyebabkan pelabur bergegas cuba mendapatkan logam berharga ini dan menyebabkan peniaga berebut-rebut mendapatkan stok.
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Jan 2026 09:55PM Dikemas Kini : 23 Jan 2026 09:51PM
SINGAPURA: Perak dalam bentuk fizikal semakin sukar ditemui di Singapura, memandangkan lonjakan harga global baru-baru ini telah menyebabkan pelabur bergegas cuba mendapatkan logam berharga ini dan menyebabkan peniaga berebut-rebut mendapatkan stok.

Senarai menunggu kini semakin panjang selama berbulan-bulan, dengan beberapa peruncit bergelut untuk mendapatkan bekalan segar di tengah-tengah apa yang digambarkan oleh para penganalisis sebagai pasaran yang semakin sengit.

Pergelutan ini berlaku apabila logam berharga itu muncul sebagai komoditi yang paling menonjol tahun lalu, didorong oleh ketidakpastian ekonomi dan risiko geopolitik. Perak mengatasi kebanyakan indeks ekuiti utama dan mata wang, manakala emas meningkat ke paras tertinggi.

Sesetengah penganalisis percaya logam berharga boleh menyaksikan keuntungan selanjutnya tahun ini, kerana kadar faedah dijangka jatuh dan pelabur terus mencari aset selamat.

BEKALAN LEBIH KETAT

Perak mencatatkan kenaikan yang luar biasa pada tahun 2025, meningkat 161 peratus dan memecahkan paras AS$80 setiap auns buat kali pertama pada bulan lalu.

Logam itu mengatasi emas, yang meningkat 66 peratus dalam tempoh yang sama.

Para penganalisis mengaitkan lonjakan harga dengan gabungan permintaan perindustrian yang kukuh – terutamanya daripada sektor elektronik dan tenaga boleh diperbaharui – dan kekurangan bekalan global.

Kenaikan harga telah menarik minat pelabur, dengan pembeli membeli jongkong perak apabila harga meningkat, sekali gus menjejaskan bekalan yang terhad sekarang ini.

Peningkatan permintaan itu kini dirasai di lapangan.

Peniaga jongkong Kwek Seow Bin memberitahu Mediacorp bahawa jualan emas dan perak di kedainya melonjak hampir enam kali ganda dari November hingga Disember, apabila pelanggan bergegas untuk membelinya di tengah-tengah kenaikan harga.

“Bagi kami peniaga, kami tidak melakukan banyak pemasaran. Orang ramai mencari kami untuk membeli logam fizikal,” kata Encik Kwek, pemilik syarikat Metal & Picks yang berpangkalan di Singapura.

Beliau menambah bahawa profil pembeli juga mula berubah.

Dahulu dikuasai oleh kebanyakannya pelanggan tempatan dan pertengahan umur, kedai di Upper Boon Keng itu kini menyaksikan pembeli muda berusia 20-an tahun – dan juga warga asing – membeli jongkong perak.

Perubahan itu sebahagiannya didorong oleh peniaga lebih besar yang kekurangan stok, mendorong pembeli untuk mencari tempat lain.

Encik Kwek berkata kira-kira sembilan daripada 10 pelanggannya kini memilih perak berbanding emas, meskipun turun naiknya lebih tinggi.

“Permintaan untuk (perak) fizikal adalah sangat tinggi,” tambah Encik Kwek, yang telah meningkatkan margin keuntungan produk perak dan membuat pesanan yang lebih besar.

“Sesetengah (kilang penapisan), walaupun kami menghantar pesanan, mengatakan bahawa mereka tidak berani menerima pesanan. Jadi sekarang kami diletakkan dalam senarai menunggu.”

Peruncit itu berkata ia membuat pesanan untuk kira-kira 300 keping jongkong perak 1kg bulan lalu, tetapi sejak itu diberitahu bahawa stok hanya dijangka tiba pada bulan Mac.

Itu adalah kelembapan mendadak daripada tempoh sebelumnya, apabila pesanan biasanya hanya mengambil masa satu hingga dua minggu untuk tiba.

Untuk mengatasinya, para peniaga memberitahu Mediacorp bahawa mereka membuat pesanan yang lebih besar dan mengembangkan saluran jualan online, kerana lebih ramai pembeli beralih kepada platform digital untuk mendapatkan jongkong dengan cepat.

INDUSTRI MEMBENTUK PERMINTAAN

Selain pelabur, sesetengah industri telah menjadi pemacu terbesar permintaan perak, menyumbang kira-kira 60 peratus daripada penggunaan global.

Sektor-sektor seperti kenderaan elektrik, panel solar dan pengilangan semikonduktor bergantung kepada konduktiviti (conductivity) tinggi perak.

“Terdapat situasi permintaan berlebihan,” kata Dr Tan Kee Wee, seorang ahli ekonomi di Bursa Logam Berharga Singapura.

“Selama lima tahun yang lalu, lombong tidak dapat menghasilkan (perak yang mencukupi) untuk memenuhi permintaan pihak perindustrian.”

Ahli ekonomi itu berkata bahawa walaupun harga perak yang lebih tinggi akhirnya mungkin akan disalurkan kepada pengguna, kesan segera di Singapura mungkin kekal terhad.

“Sebaik sahaja China dan Korea Selatan membayar lebih tinggi untuk perak untuk membuat EV, bateri atau cip dan semua itu, maka, sudah tentu, mereka akan menaikkan harga lebih tinggi untuk pengguna seperti kami,” kata Dr Tan, sambil merujuk kepada dua hab pengilangan utama dunia untuk produk sedemikian.

“Jadi (ia) akan datang kepada kami dengan harga yang lebih tinggi pada masa hadapan.”

Namun beliau menyatakan bahawa kesannya “tidak mungkin besar”, memandangkan perak merupakan sebahagian kecil daripada kos penghasilan kenderaan elektrik atau bateri.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Ang Yuit berkata: “Walaupun harga perak tinggi, terjemahan sebenar kepada harga untuk pengguna masih agak terkawal pada masa ini.”

Contohnya, perak hanya membentuk sebahagian yang “sangat kecil” daripada jumlah kos panel solar berbanding faktor lain seperti kos pengilangan dan penghantaran, tambahnya.

“Walaupun harga perak mungkin telah mencapai paras tertinggi, kesan sebenar terhadap harga output sekeping panel solar tidak begitu ketara, mengambil kira semua perkara lain yang sedang berlaku.”

Para penganalisis berkata petunjuk utama yang perlu diperhatikan ialah sama ada perak fizikal terus diniagakan pada harga premium di Asia, menandakan bahawa permintaan perindustrian masih melebihi bekalan.

“Bagi industrialis, mereka tidak peduli – mereka memerlukan perak,” kata Dr Tan, sambil menambah bahawa ada yang mempelbagaikan kepada platinum dan paladium, yang juga mencatatkan kenaikan harga yang kukuh tahun lalu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita