Skip to main content

Kewangan

Penghantaran global telefon bijak dalam Q2 catat paras terendah dalam 13 tahun akibat kekurangan cip

Anggaran Waktu Membaca:
 Penghantaran global telefon bijak dalam Q2 catat paras terendah dalam 13 tahun akibat kekurangan cip

Telefon pintar Apple, iPhone 17, dipamerkan dalam sebuah kedai. (Gambar: REUTERS/Evgenia Novozhenina)

Diterbitkan : 14 Jul 2026 06:02AM
AMERIKA SYARIKAT: Penghantaran telefon bijak global merosot 11 peratus pada suku kedua ke paras terendah bagi tempoh tersebut sejak 2013.

Menurut anggaran awal daripada Counterpoint Research, keadaan ini berlaku disebabkan oleh kekurangan cip memori yang berlarutan, yang melonjakkan harga telefon bimbit dan menjejaskan permintaan.

Apple berjaya melawan trend penurunan ini dengan meningkatkan penghantaran sebanyak 3 peratus.

Ini sekali gus melonjakkan pegangan pasaran globalnya ke paras rekod tertinggi iaitu 20 peratus pada suku tersebut, didorong oleh permintaan yang kukuh terhadap rangkaian iPhone premium mereka serta keputusan untuk mengekalkan harga sedia ada.

Para penganalisis bagaimanapun menjangkakan akan berlaku kenaikan harga dalam masa beberapa bulan mendatang.

Berikut adalah butiran lanjut:

Harga memori terus meningkat memandangkan pembekal memberikan keutamaan kepada pelanggan pusat data AI berbanding barangan elektronik pengguna. Keadaan ini memaksa pengeluar menyalurkan kos komponen yang lebih tinggi kepada pengguna melalui kenaikan harga, terutamanya bagi peranti peringkat permulaan (entry-level) dan pertengahan.

Samsung merampas semula kedudukan teratas dengan pegangan pasaran sebanyak 24 peratus. Kelebihan ini diperoleh hasil penjualan kukuh siri utama Galaxy S26 mereka, ketersediaan produk yang lebih baik, dan kenaikan harga yang lebih rendah di pasaran seperti India dan Timur Tengah.

Xiaomi, Oppo, dan Vivo mencatatkan penurunan penghantaran yang paling ketara dalam kalangan lima pengeluar telefon bijak teratas. Hal ini mencerminkan kebergantungan dan pendedahan mereka yang lebih besar kepada pasaran peranti peringkat permulaan dan pertengahan.

Counterpoint mengekalkan jangkaan bahawa penghantaran telefon bijak global akan menurun kira-kira 14 peratus tahun ini, dan masalah kekurangan memori ini berkemungkinan akan berlarutan sehingga 2027.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita