Penggajian pekerja penduduk naik 'ketara' pada suku ke-3; pemberhentian pekerja merosot: MOM
Bilangan mereka yang diberhentikan kerja merosot pada suku ketiga manakala penggajian pekerja penduduk tempatan meningkat "dengan ketara" sedang pasaran buruh terus bertambah baik, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam unjuran awalnya yang dikeluarkan hari ini (29 Okt).

Gambar: Calvin Oh/CNA
SINGAPURA: Bilangan mereka yang diberhentikan kerja merosot pada suku ketiga manakala penggajian pekerja penduduk tempatan meningkat "dengan ketara" sedang pasaran buruh terus bertambah baik, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam unjuran awalnya yang dikeluarkan hari ini (29 Okt).
Namun, pemulihan masih tidak sama rata dalam semua sektor disebabkan sekatan-sekatan COVID-19 lebih menjejas sesetengah industri berbanding yang lain, tambah kementerian itu.
Secara keseluruhannya, pengambilan pekerja merosot 3,400 pada suku ketiga meskipun penurunan itu "lebih perlahan" berbanding suku kedua apabila ia menjunam 16,300.
"Pengambilan pekerja penduduk tempatan naik lebih pantas, khususnya dalam industri-industri berorientasi luar," menurut MOM. Sektor-sektor tersebut termasuk khidmat profesional, maklumat dan perhubungan serta khidmat kewangan.
Sementara itu, sektor-sektor seperti khidmat makanan dan minuman serta perdagangan runcit mengurangkan tenaga kerja penduduk. Ini mencerminkan sekatan-sekatan sempadan COVID-19 dan langkah-langkah pengurusan selamat berterusan yang dikuatkuasakan pada suku ketiga, tambah MOM.
Pengambilan pekerja bukan penduduk pula terus menguncup di kebanyakan sektor disebabkan sekatan sempadan sedia ada,menurut MOM lagi.
Pemberhentian pekerja juga berkurangan iaitu 2,000 pada suku ketiga berbanding 2,340 pada suku kedua. Jumlah itu juga hanya suku daripada jumlah pemberhentian yang dicatat ketika kadar pengangguran memuncak setahun lalu di tengah-tengah pandemik COVID-19, tambah MOM.
Kadar pengangguran juga merosot buat bulan kedua berturut-turut selepas ia naik sementara pada Julai. Kadar pengangguran susut 0.1 peratusan mata bagi semua kategori dengan kadar keseluruhan pada 2.6 peratus, pengangguran penduduk pada 3.5 peratus dan pengangguran rakyat pada 3.7 peratus.
Kadar pengangguran "terus merosot pada rentak stabil" sejak kemuncaknya setahun lalu tetapi kekal tinggi berbanding sebelum pandemik, menurut MOM.
Dengan Fasa Penstabilan Singapura diteruskan hingga hujung November, "trend bercampur-campur pengambilan pekerja dijangka berlanjutan hingga suku seterusnya.
"Memandangkan langkah-langkah COVID-19 yang dilanjutkan termasuk sekatan saiz kumpulan yang boleh duduk makan di luar dan kegiatan sosial lain, sektor-sektor seperti khidmat makanan dan minuman akan terus terjejas," menurut MOM.
Sebagai perbandingan, skim laluan perjalanan penumpang divaksin (VTL) dan kegiatan-kegiatan berhubung perjalanan dijangka merancakkan industri-industri seperti penginapan dan khidmat pengangkutan udara, tambah MOM.
Laporan Pasaran Buruh suku ketiga yang bakal dikeluarkan pada pertengahan Disember akan memberi perincian lanjut seperti pengambilan pekerja penduduk dan bukan penduduk, pecahan setiap sektor, jumlah kerja kosong, kadar pusing ganti tenaga buruh dan kadar kemasukan semula penduduk yang menganggur ke dalam pasaran buruh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.