Skip to main content

Kewangan

Pengendali Cathay Cineplexes, mm2 Asia lapor kerugian bersih kumpulan S$122.4 juta

Anggaran Waktu Membaca:
Pengendali Cathay Cineplexes, mm2 Asia lapor kerugian bersih kumpulan S$122.4 juta

Cawangan Cathay Cineplexes di pusat beli-belah JEM. (Gambar fail: Facebook/Cathay Cineplexes)

SINGAPURA: Pemilik Cathay Cineplexes, mm2 Asia, mengalami kerugian bersih kumpulan sebanyak S$122.4 juta bagi tahun kewangan 2025, menurut hasil kewangan yang dikeluarkan pada Khamis (28 Ogos).

Ini juga kerugian lebih besar berbanding S$1.9 juta pada tahun sebelum ini.

Jumlah pendapatan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2025 menurun kepada S$165.1 juta, jatuh 13.9 peratus berbanding S$191.8 juta pada 2024.

Hasil pendapatan yang merosot itu berlaku meskipun pendapatan meningkat pada separuh kedua 2025.

Jumlah pendapatan bagi enam bulan terakhir hingga 31 Mac dilaporkan sebanyak S$79.7 juta, naik 21 peratus berbanding S$65.9 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, mm2 Asia mengalami kerugian bersih sebanyak S$118.4 juta pada separuh kedua 2025, iaitu hampir 10 kali ganda berbanding kerugian S$12.8 juta pada tempoh yang sama pada tahun sebelum ini.

Bahagian kerugian syarikat sekutu bagi keseluruhan tahun kewangan 2025 adalah sebanyak S$82.8 juta, meningkat daripada S$11.9 juta pada 2024.

"CABARAN BESAR"

Dalam unjurannya, mm2 Asia menyatakan segmen pawagam menghadapi "cabaran besar", dengan kehadiran penonton yang belum pulih sepenuhnya selepas pandemik COVID-19, persaingan daripada platform penstriman dan margin operasi yang sengit.

"Ini diburukkan lagi dengan kos operasi yang meningkat dan tabiat penonton yang berubah, menjadikan pemulihan berterusan dalam perniagaan pawagam sebagai satu cabaran yang sulit dan mendorong pertimbangan untuk penyusunan semula, penggabungan atau pelupusan perniagaan," katanya.

Bagi operasi konsert dan acara langsung, syarikat itu menunjukkan sikap optimis yang berhati-hati.

"Walaupun hiburan langsung telah kembali ke tahap sebelum pandemik di banyak pasaran, hasil dalam segmen ini turun naik mengikut kitaran acara, penjadualan, dan sentimen pengguna, sekali gus menunjukkan pertumbuhan masih kekal tidak menentu dalam jangka terdekat," kata mm2 Asia.

Syarikat itu juga menunjukkan sikap optimis yang berhati-hati terhadap kandungan digital, kerana walaupun terdapat pelaburan berterusan dan kerjasama yang membawa peluang baharu dalam media digital, penstriman online dan kandungan berjenama, "intensiti persaingan dan inovasi pesat memerlukan penyesuaian yang pantas terhadap teknologi yang berubah dengan pantas dan permintaan penonton," katanya.

mm2 Asia yang disenaraikan di Bursa Singapura (SGX) menghadapi masalah kewangan apabila industri pawagam, yang terjejas oleh pandemik COVID-19, bergelut dengan peningkatkan khidmat penstriman dan kos yang meningkat.

Enam pawagam Cathay Cineplexes ditutup dalam tempoh sekitar tiga tahun, dengan empat cawangan masih beroperasi, dengan mm2 Asia berhutang jutaan dolar dengan tuan tanah dalam bentuk sewa.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita