Pengambilan pekerja tempatan tumbuh lebih perlahan pada suku kedua di tengah sekatan COVID-19 lebih ketat
Pengambilan pekerja dalam kalangan rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) terus mencatat pertumbuhan dalam suku kedua 2021, walaupun pada rentak yang lebih perlahan disebabkan oleh kesan sekatan-sekatan COVID-19 yang lebih ketat.
SINGAPURA: Pengambilan pekerja dalam kalangan rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) terus mencatat pertumbuhan dalam suku kedua 2021, walaupun pada rentak yang lebih perlahan disebabkan oleh kesan sekatan-sekatan COVID-19 yang lebih ketat menurut unjuran awal yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jumaat (30 Jul).
Pertumbuhan pengambilan pekerja yang lebih lembap dalam kalangan penduduk antara April dengan Jun disebabkan oleh kemerosotan dalam sektor-sektor dalam negeri yang terjejas oleh penguatkuasaan langkah-langkah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat). Ini termasuk khidmat makanan dan minuman (F&B) dan perdagangan runcit.
Sebaliknya, pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk terus berkembang dengan stabil bagi sektor-sektor seperti infokom dan khidmat profesional, serta kesihatan dan khidmat sosial, menurut MOM.
Sewaktu tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) dari 16 Mei hingga 13 Jun, saiz perhimpunan dikurangkan kepada dua orang dan orang ramai tidak dibenarkan duduk makan di cawangan-cawangan F&B. Orang ramai juga digalakkan supaya terus bekerja dari rumah sebagai aturan pilihan sepanjang tempoh itu.
"Kami menjangkakan sekatan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) pada Mei dan Jun akan menghambat pemulihan suku kedua," kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng.
"Khususnya, peraturan lebih ketat membawa kesan yang lebih besar terhadap sektor yang berorientasikan pasaran domestik... Bagaimanapun, ia adalah sesuatu yang membanggakan untuk menyaksikan sektor-sektor yang berorientasikan pasaran luar dan jagaan kesihatan terus mengekalkan pertumbuhan masing-masing."
Meskipun pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk terus berkembang, kadar pengambilan pekerja pada suku kedua secara keseluruhannya menguncup disebabkan oleh kemerosotan pada pengambilan pekerja hijrahan yang menjunam degan mendadak, menurut Laporan Awal Pasaran Buruh bagi suku kedua.
Ini selepas pengambilan pekerja pada suku pertama secara keseluruhannya meningkat buat pertama kali sejak pandemik COVID-19 melanda.
PENGANGGURAN TERUS MEROSOT
Kadar pengangguran terus merosot pada Jun meskipun belum sampai ke tahap sebelum berlaku pandemik.
Kadar pengangguran secara keseluruhannya jatuh dari 2.8 peratus pada Mei kepada 2.7 peratus pada Jun, sekali gus meneruskan trend penurunan secara beransur-ansur sejak ia memuncak pada September 2020.
Kadar pengangguran dalam kalangan pekerja rakyat Singapura jatuh dari 4 peratus pada Mei kepada 3.8 peratus pada Jun manakala kadar pengangguran dalam kalangan penduduk tempatan menyusut dari 3.8 peratus kepada 3.7 peratus.
Kadar pemberhentian pekerja naik sedikit kepada 2,500 dari 2,270 pada suku sebelum ini.
Syarikat-syarikat menyebut penyusunan semula perniagaan sebagai antara sebab di sebalik pemberhentian pekerja itu, menurut MOM.
Lebih banyak perincian akan didedahkan dalam Laporan Pasaran Buruh Suku Kedua 2021 yang akan dikeluarkan pada pertengahan September.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.